Isu Setpol: SPRM wajib siasat, Anwar perlu letak jawatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim didesak supaya mengambil tanggungjawab penuh termasuk meletakkan jawatan susulan pendedahan skandal rasuah yang mengaitkan Setiausaha Politik Kanan beliau.

- Advertisement -

​Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, peletakan jawatan pegawai terbabit tidak memadai memandangkan isu integriti ini melibatkan pejabat tertinggi negara.

​Beliau mempersoalkan, sekiranya wang puluhan ribu ringgit boleh sampai ke tangan orang kanan nombor satu Perdana Menteri, tidak mustahil ia juga boleh melibatkan kepimpinan tertinggi.

​“Jika wang sebanyak ini tiba di tangan Setpol PM, adakah ia juga tiba ke tangan PMX? Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajib ambil tindakan serius. Ini isu integriti, tidak pernah seorang Setpol paling kanan Perdana Menteri terlibat dengan isu sebesar ini.

​“Tidak cukup Setpol yang resign (letak jawatan), PMX sendiri wajib letak jawatan. Ooo bila berucap ‘sakau.. sakau!’, tiba-tiba ini yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau.

​Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mengulas mengenai pendedahan berhubung amaran yang pernah diberikan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini.

​“Kalau ikut cerita Yang Berhormat (YB) Rafizi Ramli dalam _podcast_, sudah beberapa kali beliau ingatkan PMX, dan PMX sendiri akui berkait isu Setpolnya ini, tapi tetap tiada tindakan diambil,” ujarnya lagi.

​Dalam pada itu, Fadhli turut menyeru rakyat Sabah agar tidak terpengaruh dengan naratif Kerajaan Pusat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

​Menurutnya, pendedahan ini membuktikan kerosakan yang berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Madani dan rakyat perlu bijak membuat pilihan dengan memilih PERIKATAN NASIONAL (PN).

​“Rakyat Sabah, ingatlah baik-baik. Jangan takut buat pilihan, jangan terpengaruh dengan kata-kata pilih kerajaan yang selari dengan Pusat.

​“Pilih PERIKATAN NASIONAL kali ini, PRU nanti pilih pula PN di peringkat pusat, selarilah nanti kerajaan negeri dengan pusat. Wahai Madani, mana nak letak muka?” soalnya sinis.

​Terdahulu, tular pendedahan ahli perniagaan, Albert Tei yang mengaitkan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dalam satu skandal perlombongan mineral.

​Tei mendakwa telah menyerahkan wang berjumlah RM629,000 kepada Shamsul Iskandar dengan jaminan boleh mendapatkan semula wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.

​Ahli perniagaan itu dikatakan mempunyai bukti dokumen setebal lebih 300 muka surat, termasuk tangkapan skrin perbualan WhatsApp dan resit bagi menguatkan dakwaannya.

​Antara lain, dana tersebut digunakan untuk pengubahsuaian, pembelian perkakas dan perabot bagi dua hartanah di Bangsar, Kuala Lumpur dan kediaman pegawai kerajaan di Putrajaya.

​Susulan pendedahan tersebut, Shamsul Iskandar menerusi hantaran di laman X mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri serta-merta bagi membersihkan namanya dan mempertahankan imej kerajaan. – HARAKAHDAILY 26/11/2025

- Advertisement -