
KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Dato’ Hassan menegaskan, setiap amanah yang digalas dalam pentadbiran kerajaan membawa harapan rakyat serta akan dipersoalkan di sisi Allah.
Beliau berkata setiap dokumen, keputusan dan layanan kepada rakyat adalah gambaran nilai diri serta maruah sesebuah institusi kerajaan.
“Kerajaan Negeri Kelantan komited membina pentadbiran yang digerakkan oleh prinsip yang kukuh, jiwa yang bersih dan tindakan yang berdisiplin.
“Integriti menjadi asas utama kerana tanpanya, kecemerlangan hanya tinggal slogan dan kepercayaan rakyat akan hilang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan.
Menurutnya, prinsip Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan terus menjadi kompas yang membimbing penjawat awam agar bekerja dengan hati yang bersih serta tindakan bertanggungjawab.
“Apabila nilai ini dihayati, pentadbiran bergerak lebih teratur, keputusan lebih tepat dan kepercayaan rakyat semakin kukuh,” ujarnya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Integriti 2025 dan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) di sini, semalam.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Sijil Pengurusan Anti Rasuah kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang diterima Setiausaha Kerajaan Negeri,Tengku Kaya Perkasa, Dato’ Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal.
Beliau turut menzahirkan tahniah kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Majlis Daerah Tumpat (MDT), Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) dan Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam (MDB-BPI).
Juga Majlis Daerah Jeli (MDJ) serta Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) atas penerimaan Anugerah Pelaksanaan Inisiatif Tatakelola Baik (PIBT). – HARAKAHDAILY 26/11/2025











