Kkujoh Fun Walk medan wanita utama gaya hidup aktif

- Advertisement -

BESUT: Kkujoh Fun Walk tetap berlangsung meriah meskipun peserta terpaksa berdepan hujan sejak awal pagi pada program yang diadakan di Bukit Bubus, di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Berpegang kepada semangat ‘kkujoh’ yang membawa maksud musim tengkujuh, para peserta kekal ceria dan bersemangat menikmati aktiviti riadah dalam suasana santai dan bersahabat.

Ketua Pewanis Besut, Ustazah Fadilah Syed Hamid, dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran program tersebut.

“Alhamdulillah program berjaya sebagaimana nama kkujoh, dapat menikmati aktiviti walaupun hujan. Al‘aqlu assalīm fil jismi assalīm, akal yang cerdas terletak pada tubuh badan yang cergas.

“Alhamdulillah dapat sama-sama riadah untuk kesihatan tubuh badan,” katanya.

Menurut beliau, program seperti ini bukan sahaja mengeratkan ukhuwah, malah menggalakkan masyarakat mengutamakan kesihatan fizikal dan mental melalui gaya hidup aktif.

Ketua Ameerah Besut, Amnah Mohamed dalam pada itu berkata, program itu juga membuktikan keupayaannya menarik minat golongan muda, meskipun dijalankan dalam musim hujan.

Beliau turut merasa bangga melihat kehadiran anak muda yang begitu ramai dan bersemangat untuk menjayakan program riadah tersebut.

Kata beliau, sambutan hangat itu menunjukkan bahawa golongan belia, khususnya wanita muda semakin celik terhadap kepentingan kesihatan dan gaya hidup aktif.

“Walaupun cuaca hujan, kita lihat anak-anak muda tetap hadir dan sangat bersemangat. Ini satu perkembangan yang positif dan memberi gambaran bahawa mereka bersedia bersama Ameerah dalam pelbagai aktiviti bermanfaat,” ujarnya

Beliau turut mengajak wanita muda untuk terus mengikuti perkembangan aktiviti Ameerah Besut melalui platform media sosial bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam sebarang aktiviti yang dijalankan.

“Saya menyeru wanita muda agar sentiasa mengikuti update dan kegiatan Ameerah di media sosial. Banyak program yang memacu wanita ke arah kesejahteraan dari pelbagai aspek,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/11/2025

- Advertisement -