Siasat dakwaan dana libat pegawai kanan PMX

- Advertisement -

SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan menegaskan bahawa isu integriti dan sebarang salah laku yang melibatkan individu memegang jawatan awam wajar disiasat secara telus oleh pihak berkuasa tanpa sebarang kompromi.

- Advertisement -

​Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, pihaknya menyeru agar semua institusi kerajaan, termasuk kementerian dan pejabat tertinggi negara, terus berpegang teguh kepada prinsip tatakelola yang baik.

​Menurutnya, prinsip tersebut merupakan perkara asas yang telah dijanjikan kepada rakyat dan perlu dilunaskan dengan penuh tanggungjawab.

​“Keyakinan rakyat hanya dapat dipertahankan apabila undang-undang dilaksanakan secara adil dan profesional tanpa mengira kedudukan atau kepentingan politik seseorang.

​“PAS Negeri Sembilan menyokong sepenuhnya tindakan tegas diambil terhadap mana-mana bentuk salah laku, selaras dengan usaha membentuk sebuah kerajaan yang bersih dan berintegriti,” katanya.

​Justeru, beliau menegaskan gesaan agar aspek integriti dan tatakelola di peringkat Kerajaan PHBN diperkukuhkan demi memastikan keadilan terjamin dan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara dapat dipulihkan.

Terdahulu, Setiausaha Politik Kanan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, mengumumkan peletakan jawatan pada Selasa.

​Tindakan tersebut berlaku di tengah-tengah penularan video yang mengaitkan beliau dengan penerimaan wang serta melibatkan salah guna kuasa.

​Terbaharu, ahli perniagaan Albert Tei yang sebelum ini membuat pendedahan menyerang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung pembatalan lesen penerokaan mineral, kini mengaitkan nama Shamsul Iskandar dalam skandal tersebut.

​Tei dikatakan telah menyerahkan wang berjumlah RM629,000 kepada Shamsul Iskandar atas alasan diyakinkan bahawa pegawai kanan Perdana Menteri itu boleh membantu mendapatkan kembali wang yang telah disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah. – HARAKAHDAILY 26/11/2025

- Advertisement -