Terima surat tawaran RMM Gong Chengal Sejahtera 2

- Advertisement -

KEMAMAN: Seramai 200 menerima surat tawaran Rumah Mampu Milik (RMM) bagi projek Gong Chengal Sejahtera 2 pada satu majlis penyerahan yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

- Advertisement -

Ahmad Samsuri menyeru semua penerima agar menjaga kediaman masing-masing dengan penuh amanah selain memupuk semangat kejiranan memandangkan mereka datang dari pelbagai kawasan seperti Kemasik, Kijal serta beberapa kawasan FELDA.

“Ini tempat baharu, suasana baharu dan jiran yang juga baharu. Jadikan perpindahan ini sebagai permulaan untuk membentuk komuniti yang lebih harmoni dan bersatu.

“Saya berharap para penerima menjaga kebersihan, keselamatan serta mengurus rumah ini dengan penuh disiplin,” katanya ketika berucap merasmikan tapak RMM, di sini Khamis lalu.

Turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah.

Projek perumahan tersebut dibangunkan kerajaan negeri melalui Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Ia dibina di atas tanah seluas 17.34 ekar dan disiapkan mengikut jadual selepas dilancarkan melalui majlis pecah tanah pada tahun 2020.

Ahmad Samsuri turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan serta kontraktor yang terlibat dalam merealisasikan projek berkenaan.

“Ucapan terima kasih turut saya tujukan kepada agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta jabatan-jabatan yang telah memberi sumbangan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam memastikan kelancaran dan kejayaan majlis kita pada hari ini.

“Tidak ketinggalan, penghargaan juga diberikan kepada pihak kontraktor, pemimpin masyarakat setempat dan semua jemputan yang hadir bagi memeriahkan majlis pada hari ini.

“Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan amat bermakna kerana ia melambangkan sokongan padu terhadap usaha kerajaan negeri dalam merealisasikan agenda pembangunan perumahan untuk rakyat.

“Sesungguhnya, segala usaha dan perancangan yang telah dilakukan ini adalah hasil daripada kerjasama serta komitmen padu daripada pelbagai pihak yang terlibat,” katanya.

Menurut beliau, menjadi antara inisiatif kerajaan negeri dalam menyediakan kediaman selesa dan mampu milik kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Kerajaan sangat prihatin terhadap keperluan asas rakyat, keprihatinan ini bukan sahaja dizahirkan melalui ucapan, tetapi ianya diterjemahkan melalui komitmen dan bantuan kerajaan menyediakan rumah kediaman yang selamat dan selesa ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/11/2025

- Advertisement -