Banjir: Mangsa dipindah ke PPS tunjuk peningkatan

- Advertisement -

TUMPAT: Seramai 160 mangsa banjir dari Kampung Geting dan Pantai Geting telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Pengkalan Kubor 2 berikutan hujan berterusan yang menyebabkan paras air semakin meningkat, sejak awal pagi kelmarin.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata pemindahan tersebut dilakukan secara berperingkat oleh pasukan penyelamat dan sukarelawan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan yang mula dinaiki air.

Menurutnya, jumlah mangsa dijangka terus bertambah dari semasa ke semasa berikutan keadaan cuaca yang belum menunjukkan tanda reda.

“Saya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu menguruskan proses pendaftaran dan penempatan mangsa di PPS ini.

“Penglibatan mereka sangat memudahkan urusan pemindahan dan memastikan kebajikan mangsa sentiasa berada pada tahap yang baik,” katanya ketika meninjau keadaan di PPS berkenaan, di sini semalam.

Turut membantu dalam operasi pemindahan tersebut ialah Ameerah dan sukarelawan DUN Pengkalan Kubor, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pihak Penggawa serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menyediakan fasiliti sekolah sebagai pusat penempatan.

Wan Roslan berkata, semua agensi bekerjasama rapat sejak pagi bagi memastikan setiap mangsa menerima bantuan segera termasuk tempat tidur, makanan serta keperluan asas semasa berada di PPS.

“Saya berharap penduduk yang tinggal di kawasan berisiko sentiasa berwaspada dan bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa.

“Keselamatan adalah keutamaan dan kita mahu proses pemindahan berjalan lancar tanpa sebarang insiden,” ujarnya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan, sukarelawan serta komuniti setempat yang membantu urusan pemindahan, logistik dan kelancaran operasi di PPS.

Menurut Wan Roslan, tindakan proaktif semua pihak membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat, khususnya ketika berdepan situasi cuaca yang tidak menentu.

“Saya berharap semua mangsa yang ditempatkan di PPS dapat bertenang dan mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang tempoh penempatan ini,” katanya.

Di BACHOK yang menjadi daerah pertama dilanda banjir di negeri ini, sebanyak lima PPS sudah dibuka setakat tengah malam tadi dan jumlah penduduk berpindah meningkat dengan beberapa PPS lagi dijangka bakal dibuka.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menyatakan penghargaan beliau kepada semua agensi terlibat dalam operasi memindah dan menyelamat, di bawah penyelarasan Ketua Jajahan, PDRM, ATM, Bomba, JKM, JPAM, RELA, dan Penggawa.

Menurut beliau, di pihak masyarakat, ADUN dan Penghulu sentiasa berada di barisan hadapan untuk menghulurkan bantuan, di bawah penyelarasan Khidmat Malaysia Parlimen Bachok, team PKD, Jabatan Amal dan pasukan sukarelawan.

“Terima kasih YAB MB Kelantan dan YB Exco Kebajikan yang telah menyantuni mangsa banjir di PPS SK Pauh Sembilan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban penduduk yang terjejas.

“Nasihat kepada semua warga Bachok, khususnya adik-adik calon SPM, sentiasa waspada dengan keadaan sekitar, dan patuhi arahan pihak berkuasa dari masa ke masa. Semoga Allah lindungi kita semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/11/2025

- Advertisement -