
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis istiqamah melaksanakan agenda memperkukuhkan budaya kerohanian masyarakat melalui dua kempen besar negeri, iaitu ‘Nak Berjaya, Jom Solat’ dan ‘Nak Tenang, Nak Bahagia, Jom Baca Al-Quran’.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan dan Sumber Manusia, Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, seluruh dasar kerajaan negeri berteraskan risalah penyelamat umat iaitu al-Quran, hadis dan panduan ulama muktabar.
Kerajaan Negeri katanya, sentiasa mendukung usaha menjadikan al-Quran sebagai rujukan tertinggi dalam kehidupan seharian rakyat.
“Hakikat ini selari dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 2 hingga 4, yang menggambarkan ciri-ciri orang beriman hati mereka gentar apabila nama Allah disebut.
“(Ayat sama juga menyatakan) iman mereka meningkat ketika mendengar ayat-ayat-Nya, serta mereka bertawakal sepenuhnya kepada-Nya.
“Kerana itu, kempen membudayakan bacaan al-Quran sangat penting. Al-Quran bukan sekadar kitab suci, tetapi sumber ketenangan, keamanan dan kebahagiaan bagi sesiapa yang membacanya,” ujar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan itu berkata demikian ketika beliau menyampaikan kuliah maghrib khas di Masjid Nurus Said, Santan, di sini baru-baru ini.
Ustaz Azmir berkata, keberkatan Allah hadir dalam pelbagai bentuk apabila masyarakat kembali kepada al-Quran dan mendirikan solat yang menjadi perintah disyariatkan Islam kepada setiap Muslim.
Justeru jelasnya, usaha memperluas dua kempen tersebut diyakini mampu membawa negeri Perlis ke arah pembangunan yang lebih seimbang, harmoni dan diredai Allah SWT.
“Al-Quran ialah perlembagaan utama manusia dan mukjizat sepanjang zaman. Mudah-mudahan dengan usaha mengajak masyarakat mendirikan solat dan membudayakan bacaan al-Quran, negeri Perlis terus diberkati.
“Serta (agar negeri ini) mencapai kemajuan selari dengan kehendak Allah,” ujar beliau pada kuliah maghrib yang mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat di situ.
Suasana itu sekali gus menunjukkan kesedaran tinggi rakyat dalam menghayati mesej al-Quran dan seruan mendirikan solat sebagai asas kejayaan hidup. – HARAKAHDAILY 24/11/2025












