Mangsa dipindah, 400 terkandas di Wang Kelian

- Advertisement -

PADANG BESAR: Hujan luar biasa berjumlah 106 milimeter sehingga pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan di Perlis dilanda banjir kilat, tanah runtuh serta kerosakan infrastruktur yang serius, termasuk runtuhan jambatan dan jalan terputus.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli turun meninjau situasi bencana di Masjid Wang Kelian bagi menziarahi mangsa yang ditempatkan di pusat perlindungan sementara ekoran kejadian banjir kilat berlaku secara mengejut.

Menurut beliau, maklumat awal menunjukkan dua jambatan di jalan kampung runtuh, selain jalan masuk ke Wang Kelian mengalami tanah runtuh serta beberapa pokok tumbang di laluan utama.

“Team Khidmat Malaysia (KM) turut membantu di lapangan dengan mengagihkan makanan serta air minuman kepada mangsa. Saya juga menerima taklimat situasi daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) bagi penyelarasan operasi seterusnya. Moga semua dipermudahkan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs) telah memperkenankan Masjid Nurul Husna, Wang Kelian untuk dibuka sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir.

Sehingga kini, sebanyak 332 mangsa melibatkan 98 keluarga ditempatkan di lima PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Titi Tinggi, Sekolah Kebangsaan Lubuk Sireh, Sekolah Kebangsaan Rimba Mas, Dewan Semai Bakti Felda Mata Ayer dan Masjid Wang Kelian.

“Antara kawasan paling terjejas melibatkan Kampung Wang Kelian, Kampung Titi Tinggi Hilir, Kampung Sena Dalam, Padang Besar (Utara), FELDA Mata Ayer, Bukit Chabang dan Kampung Titi Tinggi,” jelas Mohd Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang di sini pagi semalam.

Menurut beliau, beberapa laluan utama turut ditutup akibat banjir dan tanah runtuh, termasuk jalan Kaki Bukit Batu 16, Simpang Tiga Kok Mak, jalan menuju Wang Kelian, jalan Kampung Chantek, Kaki Bukit, jalan Titi Tinggi, jalan Gua Kelam dan Jalan Kangar–Padang Besar (berhampiran Agrovet Perlis).

Sementara itu katanya, laporan awal menyebut hampir 400 mangsa kebanyakan terdiri daripada mereka yang pulang dari bercuti di Thailand terkandas di kawasan Wang Kelian akibat tanah runtuh yang menutup akses keluar masuk.

Mohd Shukri menasihatkan orang ramai agar mengelakkan laluan terjejas, mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa dan tidak mengambil risiko melalui kawasan yang mengalami banjir, tanah runtuh atau pokok tumbang.

Kerja-kerja pembersihan, pemantauan dan pemulihan sedang dijalankan oleh agensi keselamatan serta pihak berkuasa tempatan. – HARAKAHDAILY 24/11/2025

- Advertisement -