
KALABAKAN: Calon PERIKATAN NASIONAL bagi DUN Tanjung Batu, Ahmad Dullah, menegaskan bahawa pendidikan akan menjadi fokus utama sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini.
Menurutnya, pendidikan merupakan perkara yang amat dekat dengan jiwanya dan menjadi kunci perubahan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
“Jika saya menang, saya akan memperjuangkan pendidikan. Kerana pendidikan ini dekat dengan jiwa saya,” katanya ketika ditemui dalam program ceramah umum di Kampung Otentik, dekat sini.
Tambahnya, sepanjang menziarahi dari satu Unit Daerah Mengundi (UDM) ke UDM yang lain, beliau mendapati ramai anak-anak di kawasan ini tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya akibat kekangan kewangan keluarga.
Ahmad turut mendedahkan bahawa hampir 90 peratus kes juvana melibatkan remaja yang tidak mempunyai pendidikan.
“Hal ini membuktikan bahawa pendidikan bukan sahaja peluang untuk keluar daripada kemiskinan, tetapi menjadi benteng kepada gejala sosial di peringkat awal,” ujarnya.
Beliau turut menekankan keperluan melahirkan sekurang-kurangnya seorang usahawan dalam setiap keluarga bagi memperkukuh ekonomi kekeluargaan.
“Budaya keusahawanan mampu mengurangkan kebergantungan dan menjadi pendorong kepada pembangunan ekonomi setempat.
“Saya menyeru masyarakat agar mendidik diri serta anak-anak untuk melakukan pekerjaan yang mampu menyara kehidupan dan membina daya tahan ekonomi keluarga,” ujarnya lagi.
Beliau turut mengajak pengundi supaya memberi peluang kepada PN untuk membuktikan kemampuan mereka berkhidmat dengan bersih, berintegriti dan berprinsip.
“Berikan peluang kepada PERIKATAN NASIONAL pula memerintah, kami akan bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk rakyat,” katanya yang berdepan dengan lima lagi calon di DUN Tanjung Batu yang mempunyai 27,428 pengundi. – HARAKAHDAILY 24/11/2025











