Tawaran Kasi Bagus Sabah sedia bantuan bagi siswa

Dr Munzier Mahamud dalam program bersama anak muda Andrassy.
- Advertisement -

TAWAU: Ramai mahasiswa Sabah bergelut dengan kos sara hidup di luar, kata calon PERIKATAN NASIONAL (PN) DUN Balung, Dr Munzier Mahamud.

- Advertisement -

“Bila ada keperluan mendesak yang perlukan mereka ‘terbang’, kewangan pula menjadi masalah,” ujarnya.

Justeru, katanya PN menerusi tawaran Kasi Bagi Sabah pada Pilihan Raya Negeri kali ini menyediakan bantuan subsidi tiket penerbangan Mahasiswa Sayang Sabah (MSS) sebanyak RM1,000 setahun bagi setiap anak negeri yang sedang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Oleh itu, mahasiswa dan mahasiswi boleh urus hal penting yang melibatkan kos penerbangan tanpa mengganggu duit makan, sewa bilik atau yuran pengajian.

“Saya benar-benar mahu anak Sabah terutamanya di Balung ini belajar dengan tenang, tanpa ada yang terbeban hal belanja. Mana yang kita boleh mudahkan, kita akan bantu.

“Mahu pulang cuti berayakah, mahu balik jumpa mak ayahkah, mahu urus hal kecemasan keluargakah, semuanya tidak lagi menjadi masalah. Jangan lagi tersekat kerana kos penerbangan. Kita ikhtiarkan jalan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, ujar beliau sekiranya PN diberikan peluang untuk memerintah negeri, manifesto subsidi tiket penerbangan mahasiswa akan dilaksanakan demi kepentingan rakyat Sabah.

“Kasi Bagus Sabah! Saya tidak mahu pelajar sekolah di Balung ini ada yang tercicir kerana miskin, yuran sekolah tak mampu bayar, tiada pendedahan pembelajaran digital, tiada pengangkutan ke sekolah dan lain-lain lagi,” ujarnya

Justeru, tambahnya PN menerusi tawaran itu juga menyediakan RM300 juta untuk Dana Didik Sabah.

“Ini antara Tawaran Kasi Bagus Sabah yang saya rasa amat berbaloi buat semua rakyat Sabah bagi mengatasi masalah ketidaksamaan dalam pendidikan.

“Maka selepas ni, anak-anak Sabah dan Balung tidak akan putus sekolah lagi,” katanya lagi.

Justeru, tambah Dr Munzier, mereka boleh fokus belajar, capai cita-cita, mencipta kejayaan sekali gus berpeluang mengubah nasib keluarga.

“Mari kita buka peluang pendidikan yang lebih saksama untuk semua anak Sabah,” katanya.

“Sekiranya PERIKATAN NASIONAL diberikan peluang untuk memerintah, manifesto RM300 Juta Dana Didik Sabah akan dilaksanakan demi kepentingan rakyat Sabah,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 24/11/2025

- Advertisement -