Hentikan politik jijik, DAPSY perlu mohon maaf segera

- Advertisement -

KANGAR: Pemuda PAS Negeri Perlis mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berakhlak pihak tertentu dalam DAPSY yang menyunting dan menghina gambar Mursyidul Am PAS dengan cara biadab dan melampau.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun menyatakan bahawa perbuatan tersebut bukan sahaja memalukan, bahkan mencerminkan kerosakan akhlak politik yang semakin menular dalam DAPSY.

“Tindakan mengaibkan seorang tokoh ulama negara membuktikan bahawa DAPSY semakin hilang pertimbangan dan sanggup merendahkan martabat politik tanah air demi memenuhi nafsu politik mereka sendiri,” ujarnya.

Menurut beliau, suntingan gambar secara menghina itu menjadi bukti jelas bahawa DAPSY ketandusan idea, muflis budi, dan terus memilih politik kotor sebagai modal serangan.

Perbuatan mempersenda ulama, tambahnya, merupakan tindakan yang tidak boleh diterima dari sudut moral, budaya, apatah lagi dalam gelanggang politik negara yang seharusnya semakin matang.

“Inilah cerminan politik DAPSY lebih gemar menghina dan mengejek berbanding berhujah dengan fakta atau membawa agenda penyelesaian masalah rakyat,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri.

Haziq menjelaskan bahawa tindakan seperti itu langsung tidak mencerminkan sikap sebuah gerakan anak muda yang progresif, sebaliknya ia menyerlahkan sikap kebudak-budakan dan hanya menghakis kredibiliti mereka sendiri di mata rakyat.

Beliau berkata, berbeza dengan DAPSY, PAS sentiasa mengangkat Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang meletakkan adab, dialog sihat serta penghormatan terhadap lawan sebagai prinsip utama dalam berpolitik.

“Serangan hina seperti ini jelas bertentangan dengan prinsip BPMS. Politik mesti dibina atas asas akhlak, fakta dan tanggungjawab, bukan penghinaan,” ujarnya.

Pemuda PAS Perlis turut melihat tindakan provokatif tersebut sebagai cubaan terdesak DAPSY untuk mengalihkan perhatian daripada kelemahan kepimpinan mereka sendiri, khususnya berkaitan isu tadbir urus dan aduan rakyat di Sabah yang masih gagal ditangani.

Haziq menegaskan bahawa tindakan menghina tokoh agama atau sesiapa sahaja tidak membawa apa-apa nilai kepada demokrasi ataupun pembangunan politik negara.

Sebaliknya, ia hanya menjadikan DAPSY beban kepada lanskap politik Malaysia apabila gagal mempamerkan sikap matang serta adab seorang pemimpin muda.

Beliau menggesa DAPSY untuk segera menghentikan politik jijik tersebut dan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Jika tidak, tindakan mereka hanya mengesahkan bahawa DAPSY tidak pernah belajar tentang adab, hemah dan tanggungjawab dalam politik,” katanya.

Dalam masa sama, Haziq menyeru rakyat Malaysia menolak gaya politik longkang yang cuba dinormalisasikan oleh DAPSY, serta terus memperkukuh budaya politik yang bermaruah demi masa depan negara. – HARAKAHDAILY 24/11/2025

- Advertisement -