
KOTA BHARU: Pengasuh memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan, kerana proses mendidik sejak awal usia menentukan arah kehidupan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Rohani Ibrahim berkata, pengasuh perlu berusaha memastikan setiap anak yang dijaga dididik dengan nilai Islam bagi melahirkan generasi beriman dan bertakwa.
Menurutnya, kerajaan negeri meletakkan pendidikan dan pembentukan insan sebagai dasar asas melalui dasar “Membangun Bersama Islam”, yang menekankan akhlak dan sahsiah dalam setiap institusi masyarakat.
Beliau berkata, pengasuh perlu mendidik dengan penuh tanggungjawab, bukan semata-mata kerana ganjaran kewangan, tetapi nilai dan ilmu yang diterapkan sejak awal akan membentuk masa depan anak-anak.
Jelasnya, walaupun tahap kemampuan keluarga berbeza, pendidikan awal tetap perlu diutamakan dan kerajaan negeri sentiasa memastikan semua taska memainkan peranan mendidik anak-anak dengan nilai Islam sejak awal kehidupan.
“Kerajaan negeri sentiasa cakna supaya taska dapat berperanan mendidik anak-anak pada peringkat awal kehidupan mereka,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Insentif Khas Taska 2025 yang diadakan di Bilik Gerakan Negeri, Kota Darulnaim, Khamis lalu.
Sebanyak 41 taska swasta di seluruh Kelantan menerima insentif berjumlah keseluruhan RM205,000 sebagai komitmen kerajaan negeri meningkatkan mutu asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak.
Bantuan insentif itu disalurkan dalam bentuk barangan asas seperti peralatan pendidikan awal, kebersihan, keselamatan serta keperluan operasi.
Ia turut merangkumi kerja baik pulih termasuk menaik taraf ruang pembelajaran, penyelenggaraan asas dan peningkatan standard keselamatan taska.
Dato’ Rohani menjelaskan pemberian tersebut bertujuan mengukuhkan kualiti asuhan dan pendidikan awal, membantu pengusaha taska beroperasi dengan lebih cekap dalam keadaan ekonomi semasa, serta memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif dan selari dengan nilai Islam. – HARAKAHDAILY 24/11/2025











