
KOTA BHARU: Sokongan padu anak muda menjadi faktor penentu kemenangan PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Negeri Sabah meskipun berdepan saingan sengit dan jumlah calon yang ramai di banyak kerusi.
Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob berkata, terdapat kawasan yang menyaksikan sehingga 10 atau 11 penjuru dan malah ada lokasi menampilkan sembilan penjuru pada sebelah petang hari penamaan calon.
“Golongan muda semakin peka terhadap isu semasa termasuk perkembangan politik serta urus tadbir di Sabah. Namun pertandingan banyak penjuru menjadi lebih rumit apabila wujud calon daripada keluarga yang sama bertanding di kawasan serupa,” katanya.
Beliau berkata persaingan turut sengit apabila beberapa bekas wakil rakyat yang tidak lagi dicalonkan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memilih bertanding sebagai calon bebas.
“Namun saya optimis anak muda akan menjadi kunci perubahan,” katanya menyifatkan golongan itu lebih terbuka, lebih terdedah kepada maklumat, dan lebih matang dalam menilai kemampuan calon memperjuangkan nasib rakyat.
Menurut Ahmad Yakob, calon PERIKATAN NASIONAL bagi kerusi DUN Petagas, Dr Afifi Saif, menunjukkan keperibadian terpuji sejak hari penamaan calon.
“Beliau membantu menyelesaikan insiden melibatkan alat tulis di khemah Barisan Nasional dan tindakan itu mencerminkan sikap pemimpin yang tenang serta sedia berkhidmat,” katanya.
Menurut beliau, hanya dua hari sebelum penamaan calon PAS dimaklumkan boleh bertanding di kawasan tersebut.
“Namun jentera tetap bertindak pantas melakukan persiapan dan gerak kerja teratur tetap dijalankan sehingga saat akhir,” katanya.
Beliau menjangka jumlah calon yang ramai menyebabkan undi berpecah.
Katanya, keyakinan terhadap pengundi muda kekal tinggi meskipun isu politik wang masih menjadi cabaran dalam proses demokrasi di Sabah.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah berkata, beberapa kerusi menampilkan lebih daripada satu calon dan ada yang mencecah sehingga 11 orang.
Beliau berkata semua kerusi dianggap mencabar kerana persaingan di Sabah lazimnya ketat memandangkan PN masih baharu bertapak di negeri berkenaan.
“Sebelum ini pertandingan dibuat atas tiket PAS namun kini ia didaftarkan di bawah PN,” katanya yang juga Speaker Dewan Negeri Kelantan.
Beliau menegaskan PN tidak memandang rendah mana-mana kerusi dan setiap calon mempunyai peluang tersendiri untuk menang di mana jentera kempen telah digerakkan sepenuhnya dan setiap pasukan mempunyai jadual masing-masing.
Turut membantu kempen ialah Menteri Besar Kelantan, Perlis dan Kedah.
Menurut beliau isu calon tempatan atau luar negeri bukan persoalan utama dalam pilihan raya tersebut dan perkara itu diserahkan kepada pengundi untuk membuat keputusan terbaik.
“Kita berharap pengundi Sabah membuat pilihan yang terbaik pada PRN kali ini bagi mengelak berlaku ketirisan dan rasuah terus berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/11/2025












