Kasi Bagus Sabah penuhi tuntutan anak muda

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, naluri dan citra belia Sabah kini cenderung kepada politik damai yang berasaskan nilai serta menolak permusuhan dan perkelahian.

- Advertisement -

Menurutnya, pendekatan politik berakhlak tanpa maki hamun dan penghinaan merupakan kehendak sebenar anak muda yang mahukan perubahan budaya politik.

Beliau turut menekankan keperluan memenuhi tuntutan belia termasuk ekonomi, pekerjaan dan pembangunan kemahiran sebagai agenda utama PN.

Justeru, ujarnya tawaran PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang dilancarkan kelmarin mengandungi 12 Tunjang Utama ‘Kasi Bagus Sabah’, termasuk satu tunjang khusus untuk anak muda.

Antara inisiatif tersebut ialah dana tani belia, Program Sabah Tour Pro bagi melahirkan 2,000 pemandu pelancong berlesen dalam tempoh lima tahun, serta mempergiat penglibatan koperasi belia.

Selain itu, manifesto berkenaan turut memperkenalkan skim bantuan p-hailing Sabah melibatkan RM2.5 juta setahun kepada 5,000 anak muda dalam industri penghantaran makanan, serta Program Sabah Dron Pilot untuk melatih 2,000 juruterbang dron profesional.

Manifesto itu juga menawarkan Program Sabah Innovation Accelerator (SIA) bagi menyokong pembangunan inovasi dan teknologi anak muda di negeri ini secara lebih komprehensif.

“Kita mahu dan insya-Allah beriltizam sungguh-sungguh untuk kita sama-sama menggerakkan belia, membangunkan belia, membantu belia, bersama-sama memberi suatu pendekatan yang baru kepada belia, meningkatkan ilmu para belia, meningkatkan ekonomi.

“Insya-Allah, saya kira pada manifesto ini cukup dan boleh kita realisasikan dalam konteks negeri Sabah,” katanya dalam Program Santai Belia di Kampung Gentisan, semalam. Turut berucap ialah Tan Sri Annuar Musa.

Tambah beliau, kegagalan pentadbiran kerajaan terdahulu yang masih tidak mampu menyelesaikan isu asas seperti jalan berlubang dan kebajikan rakyat walaupun memerintah selama lebih 30 tahun masih mahu diberikan peluang untuk memerintah Sabah.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan agar politik sentiasa diletakkan di bawah panduan agama supaya tidak berlaku janji kosong yang mustahil ditunaikan.

“Ada benda yang kita boleh janji, tapi jangan janji dengan bulan bintang, janji yang kita rasa boleh direalisasikan dalam masa depan kita,” ujarnya.

Beliau mengingatkan peranan golongan belia amat penting dalam menentukan arah politik negeri menjelang pengundian PRN pada 29 November ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.

Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 23/11/2025

- Advertisement -