
PERTUBUHAN Pendokong dan Pencinta Ulamak (Geng Ustaz) mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab Ketua Pemuda DAPSY dan EXCO Kerajaan Negeri Perak, Woo Kah Leong yang telah menyunting serta menyebarkan gambar menghina Tuan Guru Hashim Jasin. Perbuatan tersebut bukan sahaja melampaui batas politik, malah menunjukkan akhlak yang rendah, tidak matang dan tidak menghormati institusi ulama.
Tindakan memanipulasi imej seorang ulama sebagai bahan sindiran politik adalah satu bentuk penghinaan terhadap agama, ilmu dan masyarakat Islam. Ia menunjukkan budaya politik kebencian yang semakin subur dalam parti tersebut serta kegagalan mereka mengamalkan politik yang berakhlak dan beradab.
Geng Ustaz menegaskan bahawa ulama bukan bahan permainan politik. Menghina ulama bererti menghinakan maruah agama dan umat Islam. DAP mesti bertanggungjawab sepenuhnya dan segera mengambil tindakan disiplin terhadap pemimpin yang melakukan penghinaan tersebut. Budaya politik yang menghina, mengaibkan dan membakar kebencian adalah budaya yang tidak bertamadun dan bercanggah dengan nilai kepelbagaian yang mereka sendiri dakwa menjadi perjuangan sedangkan isu ini jelas ia tidak seperti yang didakwa.
Geng Ustaz menyeru seluruh umat Islam agar menolak mana-mana parti yang berpolitik dengan akhlak tercela, yang mengaibkan ulama, dan menjadikan tokoh agama sebagai bahan ejekan. Parti yang tidak menghormati ulama tidak akan menghormati agama Islam. Parti yang suka menyebarkan sentimen kebencian tidak layak diberi kepercayaan untuk memimpin masyarakat. Kejadian ini membuktikan wujudnya budaya politik tidak bermaruah dalam parti tersebut. Justeru, umat Islam wajar menilai dengan matang dan menolak pihak yang membawa politik kotor dan merendah-rendahkan institusi agama. Di mana dan apakah tindakan ahli-ahli Melayu-Islam dalam DAP yang kekal membisu terhadap penghinaan dan tindakan biadab ini?
Geng Ustaz menuntut permohonan maaf terbuka, tindakan disiplin yang tegas dengan segera. Geng Ustaz juga menuntut supaya budaya politik tidak berakhlak dan menyebar kebencian DAP dihentikan serta-merta. Kami mengecam sebarang bentuk penghinaan terhadap ulama, tokoh agama. Maruah ulama adalah maruah ummah dan Geng Ustaz tegaskan pendirian kami bahawa kami tidak akan berdiam diri apabila ulama dihina.
AHMAD SYAKIR NORAZLI
Setiausaha Agung
Pertubuhan Pendokong Dan Pencinta Ulama’ (Geng Ustaz) – HARAKAHDAILY 23/11/2025











