Kedah perhalusi iktiraf sijil pondok sambung pengajian

- Advertisement -

BALING: Kerajaan Negeri Kedah sedang memperhalusi serta memperakui program pensijilan pondok sebagai satu bentuk pengiktirafan rasmi terhadap institusi pengajian pondok, selaras dengan hala tuju pendidikan negeri dan usaha memperkasa tradisi keilmuan Islam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penambahbaikan itu merangkumi penstrukturan pentadbiran, penaiktarafan kemudahan, selain mewujudkan laluan akademik khusus bagi memastikan lepasan pondok memperoleh pengiktirafan sah untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

- Advertisement -

“Kerajaan negeri juga berhasrat memperkenalkan beberapa inisiatif agar graduan pondok dapat diiktiraf sebagai sumber model insan yang berilmu dan kompeten untuk berkhidmat dalam sektor agama, pendidikan, sosial dan pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penghormatan dan Penghargaan Lepasan Pondok peringkat negeri di Dewan Tunku Permaisuri Hajah Haminah, Universiti Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) kelmarin.

Menurutnya, usaha memperkasa pendidikan pondok ini akan digerakkan bersama Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Yayasan Islam Negeri Kedah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) melalui kerjasama strategik yang lebih tersusun dan menyeluruh.

Sanusi menyatakan bahawa langkah ini selaras dengan gagasan pembangunan ilmu negeri Kedah melalui konsep ‘Cordoba of Kedah’, yang menekankan keseimbangan antara kemakmuran ekonomi dan ketenangan jiwa.

“Melalui gagasan ini, diharapkan Kedah bukan sekadar negeri yang makmur ekonominya, tetapi juga sejahtera jiwanya. Negeri yang umarak, ulamak dan cendekiawan berganding bahu menghasilkan kesejahteraan untuk rakyat yang berilmu, beradab dan beriman,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.

Beliau turut memaklumkan bahawa kajian komprehensif mengenai program pensijilan pondok telah dijalankan melalui kerjasama antara Yayasan Islam Negeri Kedah, ahli akademik Universiti Utara Malaysia (UUM), UniSHAMS, Jabatan Mufti, MAIK, JHEAIK.

Juga maklumnya, perkara itu turut melibatkan para tuan-tuan guru pondok sendiri, menjadikannya usaha sulung yang bakal memartabatkan sistem pondok di Kedah.

Sanusi menambah, pengiktirafan terhadap guru-guru pondok akan diterjemahkan melalui dasar yang lebih kukuh, sokongan berterusan dan pelbagai bentuk penghargaan agar institusi pondok terus berfungsi sebagai pusat pembinaan insan, pengislahan masyarakat serta pengukuhan nilai-nilai Islam di seluruh Kedah.

“Kerajaan negeri akan terus berdiri teguh bersama tuan-tuan guru dan seluruh institusi pondok dalam membina negeri yang diberkati dan dirahmati Allah SWT. Pengiktirafan sebegini akan diteruskan pada masa akan datang kerana jasa tuan guru dalam melahirkan generasi rabbani amat besar maknanya,” katanya.

Beliau juga turut berdoa agar negeri Kedah terus berada dalam naungan rahmat Allah, manakala segala nikmatNya melimpahi seluruh rakyat tanpa kecuali. – HARAKAHDAILY 24/11/2025

- Advertisement -