
BALING: Kerajaan Negeri Kedah kini berada pada fasa penting dalam usaha memuktamadkan tindakan undang-undang berkaitan isu pajakan Pulau Pinang.
Pasukan peguam yang dilantik sedang meneliti setiap dokumen sejarah dan bahan berkaitan sebelum mengemukakan tuntutan munasabah atau ‘relief’ mengikut peruntukan undang-undang.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, proses penelitian tersebut sedang berlangsung dari hari ke hari dengan perkembangan positif.
“Setiap hari ada perkembangan (baik) mengenai proses undang-undang tersebut. Hari-hari isu itu berkembang. Buat masa ini, kita sedang tunggu peguam meneruskan proses berkaitan cadangan ‘relief’ atau tuntutan munasabah berdasarkan penemuan dokumen serta undang-undang yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penghormatan dan Penghargaan Kepada Pelajar Lepasan Pondok Negeri Kedah 2025 di UniSHAMS kelmarin.
Mengulas kenyataan Exco Pulau Pinang, Wong Hon Wai, yang menyifatkan tindakan Kedah membuat tuntutan pajakan sebagai ‘mengungkit perkara lama’, Sanusi menegaskan bahawa perjuangan mempertahankan hak negeri itu tidak akan dihentikan sama sekali.
“Kalau 1,000 tahun pun saya akan ungkit juga. Hak kita, hak anak cucu kita. Tentulah pemimpin terdahulu pun mengharapkan anak cucunya bangkit mempertahankan apa yang jadi hak kita.
“Sekarang anak cucu itu bangkit. Kalau 1,000 tahun pun saya ulang juga, jangan kata 200 tahun,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.
Beliau turut menyindir pihak yang mempertikaikan usaha Kedah itu kononnya kerana tidak mempunyai akar sejarah terhadap perjuangan tersebut.
“Mereka tak ada di sini pada masa itu, sebab itu akar perjuangan ini tak ada dalam sanubari mereka. Mereka hanya ada akar rambut saja di sini, mari sini untuk cari makan.
“Tunjang mereka ada di tempat lain, akar tak ada di sini, perdu mereka pun mungkin ada di tempat lain,” katanya sinis.
Sanusi menjelaskan, itulah perbezaan antara anak jati negeri yang mewarisi perjuangan dengan pihak luar yang tidak memahami maksud mempertahankan legasi sejarah.
“Perjuangan berasaskan kepada legasi. Perjuangan generasi terdahulu (ketika itu) dia tak ada di sini. Saya ada, itu beza antara saya dengan dia.
“Jadi tak payahlah sebut saya ungkit perkara lama. Memang itu pun akar kita, asal-usul kita. Dia asal-usul di tempat lain sebab itu ciri tu tak ada,” ujarnya.
Sebelum ini, Sanusi memaklumkan bahawa kerajaan negeri berada di peringkat akhir memuktamadkan pelantikan peguam bagi memulakan tindakan undang-undang berkaitan isu pajakan Pulau Pinang.
Tindakan ini jelasnya, dibuat susulan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, agar isu pajakan dan kedudukan Pulau Pinang diperjelaskan secara telus.
Pada tahun 2021, Kedah telah menuntut bayaran pajakan sebanyak RM100 juta setahun, memandangkan ia tidak pernah dinilai semula sejak lebih dua abad lalu.
Terbaharu pada 10 November lalu, Sanusi memaklumkan bahawa kerajaan negeri kini dalam fasa akhir memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi menganalisis undang-undang, menyediakan dokumen dan memulakan proses perundangan.
Menurutnya, pasukan penyelidik Kedah ketika ini berada di London bagi mengesahkan dokumen berkaitan di beberapa muzium dan perpustakaan, sebelum ia difailkan ke mahkamah dalam masa terdekat. – HARAKAHDAILY 24/11/2025











