
BALING: Isu penempatan di Bukit Malut, Langkawi, adalah tanggungjawab Majlis Keselamatan Negara (MKN) memandangkan kawasan tersebut merupakan projek agensi berkenaan sejak awal penubuhannya.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri telah beberapa kali memohon kepada MKN bagi pengambilan tanah berhampiran kawasan terbabit untuk tujuan pembangunan penempatan baharu.
“Memang kita (kerajaan negeri) bersedia bila-bila masa. MKN kena atur, saya dah hantar beberapa kali surat kepada MKN untuk mereka buat pengambilan tanah di sebelah itu,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Penghormatan dan Penghargaan Kepada Pelajar Lepasan Pondok Negeri Kedah 2025 di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) kelmarin.
Sanusi berkata, kerajaan negeri sedia menawarkan mana-mana pemaju untuk membangunkan rumah baharu bagi masyarakat di kawasan tersebut, namun tanggungjawab menyediakan tapak tetap terletak pada MKN.
“Orang Bukit Malut memang tunggu rumah siap, mereka nak beli, bukan nak free. Projek itu projek MKN, jadi MKN kena selesaikan dengan sediakan tapak, kita (kerajaan negeri) cari pemaju buat rumah dan jual rumah itu,” ujar beliau.
Beliau turut memaklumkan bahawa wakil masyarakat Bukit Malut telah menyatakan kesediaan untuk membeli rumah baharu, namun kini menunggu lokasi tepat penempatan tersebut ditentukan.
“Kehidupan mereka berasimilasi dengan laut. Kegiatan ekonomi pun di laut. Tempat paling sesuai dekat laut, sebelah yang mereka duduk sekarang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.
Sanusi berkata lagi, kawasan penempatan sedia ada melibatkan tanah milik Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan sebahagian lagi tanah kerajaan di bawah Jabatan Hutan.
“Kita mahu penduduk beralih ke penempatan sah, lebih teratur sebaik pembangunan baharu disiapkan,” katanya.
Mengulas dakwaan kewujudan pelarian luar yang memasuki kawasan Bukit Malut, Sanusi menegaskan beliau tidak mempunyai maklumat berkaitan perkara tersebut.
“Saya tak tahu. Tak ada maklumat, mungkin ada, mungkin tak ada. Itu persepsi orang,” katanya.
Pengerusi Perikatan Nasional Kedah itu turut menolak dakwaan bahawa komuniti Bukit Malut terdiri daripada pelarian Rohingya, sebaliknya, mereka adalah masyarakat Melayu Islam Kedah (MIK) yang berada di kawasan itu sejak 1983 menerusi projek MKN.
“Penduduk di Bukit Malut bukan orang Rohingya. Mereka orang MIK dan boleh cakap Melayu, cakap Kedah. Rohingya mana boleh cakap Melayu, Kedah lagi tak boleh,” tegasnya.
Program penempatan semula perumahan Bukit Malut sudah berlarutan sekian lama dan sehingga kini masih belum menunjukkan perkembangan baharu. – HARAKAHDAILY 24/11/2025











