MB gesa penduduk segera berpindah elak risiko banjir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud mengingatkan penduduk di kawasan berisiko supaya segera berpindah apabila menerima arahan pihak berkuasa.

Beliau berkata perkara itu penting bagi mengelak kejadian tidak diingini kerana ketika paras air meningkat proses pemindahan menjadi lebih sukar dan berisiko.

“Semua pusat pemindahan sementara menyediakan kemudahan lengkap untuk mangsa berlindung. Antaranya makanan dan tempat tidur meskipun mungkin tidak senyaman berada di rumah. Yang paling utama adalah keselamatan” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni mangsa banjir dan menyerahkan bantuan barangan asas, selain turut melawat beberapa pusat pemindahan sementara dalam jajahan Bachok Kota Bharu dan Tumpat.

Menurut Nassuruddin kehadiran beliau memberi ruang meninjau persiapan serta memastikan kebajikan mangsa berada pada tahap terbaik.

“Rakyat perlu sentiasa peka dengan makluman pihak berkuasa dan jangan berlengah apabila diarahkan berpindah. Saya juga menghargai semua pihak yang bertungkus lumus membantu pengurusan banjir tahun ini.

“Semoga segala usaha yang dicurahkan mendapat ganjaran daripada Allah” katanya.

Suasana di PPS Sekolah Kebangsaan Tapang turut ceria dengan gelagat kanak-kanak yang baharu dipindahkan apabila rumah mereka dinaiki air dan perkara itu menghiburkan petugas serta mangsa lain.

Nassuruddin turut mendengar celoteh seorang kanak-kanak yang berkata rumah mereka sudah dinaiki air dan bersyukur kerana sempat berpindah ke pusat pemindahan.

Beliau sempat menyantuni kanak-kanak terbabit sambil berpesan agar mereka menjaga kelakuan di pusat pemindahan serta memaklumkan makanan akan dihidangkan untuk mereka.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Dato’ Rohani Ibrahim dan Ketua Jajahan Kota Bharu Rusydee Abdullah.

Hari ini menurut laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak tiga puluh enam pusat pemindahan sementara dibuka membabitkan hampir 10,000 mangsa di empat jajahan. – HARAKAHDAILY 24/11/2025

- Advertisement -