
KALABAKAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Tanjung Batu, Ahmad Dullah kagum dengan sikap anak muda yang menunjukkan keberanian untuk mencari penyelesaian.
“Bila dengar pandangan mereka, saya rasa sangat kagum, mereka bukan sekadar bercakap tentang masalah, tapi datang dengan idea dan keberanian untuk mencari penyelesaian,” ujarnya di laman sosial.
Ini susulan, malam tadi beliau berpeluang duduk bersama anak-anak muda di Kampung Otentik, Tanjung Batu Darat, yang penuh semangat dan berfikiran jauh ke depan.
Sehubungan itu, beliau percaya anak muda hari ini bukan lagi penonton tetapi penggerak yang mahu melihat perubahan yang betul-betul memberi makna dalam hidup mereka dan masyarakat sekeliling.
Menurutnya, setiap kali bersama anak muda, beliau belajar sesuatu bahawa masa depan perlu dibina bersama, dengan ruang untuk mereka bersuara dan memimpin.
“Terima kasih kepada semua anak muda yang hadir malam tadi semangat kalian sangat saya hargai.
“Insya-Allah, saya akan terus mendengar dan bersama kalian dalam apa jua usaha kebaikan,” katanya lagi.
Beliau juga berkata, warga Tanjung Batu khususnya anak muda menjadi nadi perubahan.
Ahmad meneruskan kunjungan ke kawasan setempat untuk bertemu masyarakat dari rumah ke rumah, dan berbual bersama golongan muda.
“Golongan muda membawa idea segar dan tenaga baru untuk masa depan kita,” ujarnya yang berdepan dengan lima lagi calon di DUN Tanjung Batu yang mempunyai 27,428 pengundi pada Pilihan Raya Negeri kali ini.
Beliau percaya anak muda bukan hanya pewaris masa depan tetapi rakan fikir, rakan gerak dan rakan membina perubahan hari ini.
“Kalau saya berada di kawasan anda hari ini jangan malu untuk datang berbual. Pendapat, idea dan suara anak muda sangat penting untuk membentuk Tanjung Batu yang lebih maju, sejahtera dan teratur,” katanya.
Ahmad juga menjelaskan perasaannya apabila diamanahkan sebagai calon PN di DUN Tanjung Batu.
Baginya, ia bukan soal jawatan tetapi tanggungjawab, kepercayaan dan masa depan anak muda serta rakyat Tanjung Batu.
“Saya percaya, perubahan hanya berlaku apabila kita berani melangkah, berani mencuba dan berani membawa suara rakyat ke depan,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, Ahmad mengucapkan terima kasih atas sokongan, doa dan semangat daripada semua untuk beliau meneruskan perjalanan yang masih panjang.
“Perjalanan ini masih panjang dan saya tidak mampu berjalan seorang diri.
“Saya anak Tanjung Batu. Saya berdiri untuk abang, kakak dan adik di Tanjung Batu. ‘Tanjung Batu Sejahtera, Kita Untuk Semua’,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 24/11/2025











