
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor disaran supaya memberi fokus terhadap pembangunan semula kawasan perumahan usang yang dibangunkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), khususnya di kawasan luar bandar.
Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Sijangkang) berkata, kebanyakan rumah berkenaan merupakan rumah kos rendah yang kualitinya tidak sebaik jika dibandingkan dengan projek perumahan lain, selain usianya telah lama.
Justeru, beliau mencadangkan agar konsep pembangunan secara vertikal (bertingkat) diperkenalkan bagi menggantikan rumah teres lama di kawasan tersebut, bertujuan memberi peluang pemilikan kediaman kepada generasi kedua dan ketiga.
”Apabila keadaan rumah di kawasan perumahan ini ada yang usang ditinggalkan, anak-anak pun sudah tidak mahu duduk di situ, mungkin boleh dibangunkan secara vertikal. Maknanya bukan lagi rumah teres, tetapi rumah-rumah yang bertingkat.
”Mungkin kalau di kawasan-kawasan luar bandar, tidaklah perlu rumah yang terlalu tinggi, mungkin lima tingkat dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Lisan di Persidangan Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Yunus berpandangan bahawa pembangunan semula ini dapat mengatasi isu tanah, di mana kawasan perumahan sedia ada atau tanah kerajaan yang berbaki boleh diusahakan untuk penempatan baharu.
Tambahnya, inisiatif ini memerlukan kajian kebolehlaksanaan yang teliti serta kesediaan pemilik rumah asal.
”Ada juga peluang kepada generasi selepas pembeli itu, anak-anak mungkin cucu-cucu mereka juga berpeluang untuk membeli rumah-rumah yang baru dengan peningkatan pembangunan secara vertikal ataupun rumah pangsapuri sendiri,” ujarnya lagi.
Dalam soalan asalnya, beliau meminta penjelasan mengenai perancangan Kerajaan Negeri dalam membangunkan semula taman-taman perumahan usang melebihi usia 30 tahun yang dibangunkan oleh anak syarikat kerajaan negeri.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam jawapan soalan tambahan menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk menilai kembali cadangan tersebut berdasarkan lokaliti tertentu.
Walau bagaimanapun, ujar Amirudin bahawa penumpuan semasa kerajaan negeri adalah kepada kawasan pangsapuri kos rendah memandangkan kualiti fizikal bangunan-bangunan tersebut yang kini berada dalam keadaan terlalu usang. – HARAKAHDAILY 24/11/2025











