
PADANG TERAP: Penganjuran Padang Terap MX Fest Tahun 2025 sekali lagi membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memacu pembangunan sukan permotoran sebagai industri yang berdaya maju, selari aspirasi Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK2025).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin, dengan kerjasama Pejabat Daerah Padang Terap, Majlis Daerah Padang Terap dan Kelab Sukan Bermotor NEC merasmikan acara yang berlangsung di trek Sriwangsa Motorcross, Kampung Ulu Padang Sanai itu.
Padang Terap kembali menjadi tumpuan apabila penganjuran kali ini menarik penyertaan pelumba dari Thailand, Singapura, Indonesia, Jepun, Korea Selatan serta beberapa negara lain.
Kehadiran peserta antarabangsa itu bukan sahaja mengangkat imej pertandingan ke tahap lebih berprestij, malah meningkatkan keyakinan terhadap daerah tersebut sebagai lokasi perlumbaan yang selamat, menarik dan berpotensi besar.
Dalam ucapannya, Dato’ Mohd Salleh menegaskan bahawa acara ini bukan sekadar perlumbaan, tetapi merupakan platform penting untuk melahirkan pelumba tempatan yang berpotensi besar.
Menurutnya, ia juga bagi membuka ruang kepada anak muda mendalami bidang teknikal dan kejuruteraan berkaitan sukan bermotor sekaligus memperkukuh ekosistem sukan permotoran di Kedah secara lebih tersusun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan itu turut menekankan manfaat ekonomi yang dibawa melalui penganjuran kejohanan tersebut.
“Pada masa yang sama, kehadiran peserta dan pengunjung turut membawa manfaat langsung kepada peniaga kecil, pengusaha makanan, penginapan serta komuniti sekitar.
“Sukan permotoran kini bukan sahaja menjadi tarikan rekreasi, tetapi juga pemangkin ekonomi setempat,” katanya di sini semalam.
Penganjuran Padang Terap MX Fest 2025 menjadi satu lagi bukti bahawa daerah pedalaman seperti Padang Terap mampu muncul sebagai hab acara ekstrem dan sukan bermotor.
Ia juga selaras usaha kerajaan negeri memperkukuh sektor pelancongan dan menjadikan Kedah sebagai destinasi tumpuan pelancong dalam dan luar negara. – HARAKAHDAILY 24/11/2025











