Jagalah Allah, maka Allah akan menjagamu

- Advertisement -

SETIAP manusia hakikatnya sentiasa berusaha untuk hidup dalam rasa selamat. Ketakutan mendorong mereka mencipta pelbagai alat dan sistem perlindungan. Namun semakin banyak hartanya, semakin besar pula keresahannya. Islam tidak melarang usaha mendapatkan perlindungan seperti insurans, pengawal keselamatan atau pemasangan CCTV selagi ia menjadi ikhtiar yang membina rasa aman dan tidak melampaui batas tawakal kepada Allah SWT.

Namun jangan lupa, setiap kali selesai solat, para jemaah selalunya melazimkan membaca zikir:

- Advertisement -


اَللّهُمَّ اَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ يَاذَاْلجَلاَلِ وَاْلاِكْرَامِ


“Ya Allah, Engkaulah yang memberi keselamatan. Dari-Mu keselamatan (bersumber). Engkau Maha Agung, wahai Dzat yang memiliki keagungan dan kemuliaan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Kerana itu, carilah perlindungan daripada Allah SWT tanpa menafikan ikhtiar-ikhtiar lain yang dapat menghindarkan musibah. Namun ingat, semua sebab itu tetap ciptaan Allah SWT. Maka jangan sekali-kali hati bergantung pada alat dan usaha, tetapi gantungkan sepenuhnya harapan hanya kepada Allah SWT.

Lihatlah kisah anak-anak Nabi Ya‘qub AS yang merayu agar Yusof dilepaskan untuk bermain bersama mereka. Hati seorang ayah yang tajam firasatnya sudah merasakan sesuatu yang tidak baik dalam permintaan itu. Namun sebagai ayah yang menyerahkan urusan kepada Allah SWT, beliau tetap melepaskan Yusof, yakin bahawa Allah SWT sebaik-baik Pemelihara.

Apa yang berlaku kemudiannya? Benarlah firasat Nabi Ya‘qub AS. Anak-anaknya pulang membawa cerita bahawa Yusof telah dimakan serigala, disertai bukti baju yang berlumuran darah. Namun beliau tetap menyerahkan urusan itu kepada Allah SWT. Walau Yusof hilang selama puluhan tahun, keyakinan Nabi Ya‘qub bahawa Allah memelihara anaknya tidak pernah goyah.

Tiga dekad berlalu, datang pula permintaan kedua daripada anak-anaknya kali ini mahu membawa Bunyamin ke Mesir, kononnya sebagai syarat daripada pembesar Mesir untuk mendapatkan bekalan makanan di musim kemarau yang gawat itu:

Bapa mereka berkata: “(Jika aku lepaskan dia pergi bersama-sama kamu), aku tidak menaruh kepercayaan kepada kamu menjaganya melainkan seperti kepercayaanku kepada kamu menjaga saudaranya dahulu (yang telah kamu hampakan. Oleh itu aku hanya menaruh kepercayaan kepada Allah), kerana Allah jualah Penjaga yang sebaik-baiknya, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan.” (Yusof: 64)

Walau puluhan tahun Yusof menghilang, Nabi Ya‘qub AS tetap berhusnuzon kepada Allah SWT. Dengan penuh yakin beliau berkata: ‘Aku menyerahkan seluruh kepercayaanku kepada Allah SWT, kerana Dialah sebaik-baik Penjaga, dan Dialah Yang Maha Pengasih daripada segala yang mengasihani.

Lalu bagaimana cara untuk meraih penjagaan Allah SWT?

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada sepupunya, Abdullah bin ‘Abbas RA, bahawa baginda ingin mengajarnya beberapa kalimat penting. Rasulullah SAW memuliakan sepupunya dengan panggilan yang lembut, untuk mempersiapkan jiwa dan akalnya sebelum diberikan nasihat. Ungkapan muqaddimah ini membuatkan hati dan fikiran benar-benar tertumpu kepada pesanan yang bakal disampaikan. Setelah hati sedia menerima, barulah baginda menyampaikan kata-kata hikmah yang menjadi panduan sepanjang zaman.

Daripada Abu al-‘Abbas, Abdullah ibn Abbas RA. Beliau berkata: Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: “Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah SWT nescaya Allah SWT akan memeliharamu. Peliharalah Allah SWT nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah SWT. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah SWT. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah SWT telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah SWT telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya).” (Hadis riwayat al-lmam at-Tirmizi. Beliau berkata: la adalah Hadis Hasan Sohih)

Dalam riwayat selain at-Tirmizi, hadis berbunyi: “Peliharalah Allah SWT, nescaya engkau akan dapati-Nya di hadapan engkau. Kenalilah Allah SWT ketika senang, nescaya Dia akan mengenalimu di ketika susah. Ketahuilah bahawa apa-apa yang (ditakdirkan) tidak menimpamu, ia tidak akan menimpamu. Dan apa-apa yang menimpamu bukannya ia tersilap menimpamu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu ada bersama kesabaran, terlepas dari kesempitan itu ada bersama kesusahan dan bersama kesusahan itu ada kesenangan.” (Riwayat Ahmad)

Pesan tersebut berisi beberapa nasihat penting: menjaga hak Allah SWT melalui ketaatan, yang akan mendatangkan pertolongan-Nya; meminta hanya kepada Allah SWT; dan memohon pertolongan hanya dari Allah SWT.

Pengajaran hadis:

“Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjaga kamu”:

Memelihara perintah dan larangan Allah akan menjadikan Allah sentiasa menjaga setiap urusan hamba-Nya. Seorang mukmin mesti menjaga dan memelihara hak kewajipan terhadap Allah S.W.T pada setiap masa dan tempat, lebih-lebih lagi ketika dalam kesenangan. Sesiapa ingin dijagai Allah SWT, maka jagalah Allah SWT.

“Jagalah Allah, nescaya kamu mendapati Allah sentiasa di hadapanmu”:

Ini menunjukkan bahawa ketaatan akan membawa seseorang lebih dekat dengan rahmat dan pertolongan Allah. Bila-bila sahaja kalian memerlukan Allah, Allah akan ada di depanmu. Allah SWT akan membantu. Allah SWT akan meindungi. Tetapi syaratnya, kalian kena jaga Allah SWT. Jadi ini penekanan daripada Nabi SAW dan penjelasan. Kita kalau ada masalah itu dan ini, terus teringat orang itu dan ini untuk dihubungi, jadi di mana Allah SWT Ketika itu? Kenapa kita tidak terus meminta kepada Allah SWT? Kenapa tidak membaca surah al-Fatihah untuk mengubat anak kita?

Kita ini, lebih bersandar kepada sebab, dari bersandar kepada pencipta sebab itu, Allah SWT.

“Jika kamu ingin meminta, mintalah daripada Allah”:

Segala permintaan, pertolongan dan perlindungan hendaklah hanya ditujukan kepada Allah SWT semata-mata. Tidak ada makhluk lain yang mampu menolong dan melindungi manusia kecuali Allah SWT jua. Ajarkan kepada anak-anak kita kalau mahu meminta sesuatu mintalah kepada Allah SWT agar Allah SWT memberikan rezeki agar Allah SWT gerakkan hati ayah untuk belikan kita sesuatu yang kita hendak.

Nabi SAW mengajarkan kepada Abdullah bin Abbas mengenai tauhid.

“Jika kamu ingin meminta pertolongan atau bantuan, maka mohonlah pertolongan daripada Allah”:

Jangan meminta pertolongan kepada selain Allah, kerana pertolongan sejati hanya datang daripada-Nya. Jadi kalau kalian memerlukan pertolongan maka mintalah kepada Allah SWT. Dalam setiap solat kita, kita sentiasa meminta kepada Allah SWT:


إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan. Sudahkah kita menjalankan nasihat Nabi SAW ini? Atau kita lebih sering meminta bantuan manusia daripada meminta bantuan daripada Allah SWT. Sampai kalau ingin memperbaiki kasut pun walaupun hal yang remeh tetapi kalau Allah tidak memudahkannya maka ianya tidak akan mudah juga:


اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

“Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.” (Riwayat al-Baihaqi)

Kadangkala kita lupa minta tolong kepada Allah SWT. Jadi biasakan sebelum buat sesuatu mulakan dengan bismillah dan minta Allah SWT permudahkan. Kita benar-benar merendahkan diri meminta pertolongan daripada Allah SWT.

Nabi sentiasa menanamkan keimanan, memantapkan tauhid, keyakinan di diri hamba, bahawa benar-benar ‘Tiada Tuhan lain melainkan Allah SWT sahaja’. Nabi SAW mengingatkan bahawa seandainya, kalau penduduk bumi ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah SWT telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu (menyakiti dan menggangumu) dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah SWT telah tentukannya untukmu.

Maka tanamkan keyakinan ini di hati anak-anak kita. Jadi semuanya bergantung kepada Allah SWT. Segala apa yang berlaku adalah ketetapan Allah SWT, bukannya sebab dan usaha manusia. Manusia tidak berkuasa untuk memberi manfaat atau mudharat kepada manusia yang lain.

Nabi di akhir hadis di atas menyatakan, ‘pena sudah diangkat’ ertinya, Allah SWT telah mencatat takdir kita sebelum 50 ribu tahun penciptaan langit dan bumi. Selain itu, Nabi SAW mengingatkan kita, ingatlah Allah SWT di saat senang kita agar Allah SWT mengingat kita di saat susah kita. Dan seandainya kita terselamat dari sesuatu musibah, itu memang sudah Allah SWT tetapkan begitu dan kita tidak akan terkena musibah itu.

Jadi jangan kita berasa ujub atau berbangga diri, bahaya kita terselamat atas sesuatu itu dikeranakan amalan kita yang banyak. Tetapi yakinlah bahawa Allah SWT yang berkehendak kita terselamat dari sesuatu musibah itu atau dari sesuatu apa-apa sahaja keadaan. Jika kita benar-benar yakin yang setiap sesuatu itu telah ditentukan oleh Allah SWT maka kita tidak akan ada sifat ujub tersebut.

Tetapi sesuatu yang menimpa kalian maka ianya tidak akan dapat terelak daripadanya. Jadi jauhkan dari menggunakan perkataan: ‘kalau, seandainya, dan apa-apa sahaja rekaan alasan yang kita berikan’ Tetapi seandainya kita tertimpa sesuatu kesusahan maka katakanlah bahawa ini ‘qadarullah’ – ketetapan daripada Allah SWT dan Allah SWT berkehendak berbuat apa-apa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Lihat apa yang dinyatakan oleh panglima perang Khalid bin Walid, ketika kematian hendak menjemputnya, Khalid bin Walid berkata:

“Aku telah turut serta dalam 100 perang atau kurang lebih demikian. Tidak ada satu jengkal pun di tubuhku, kecuali terdapat bekas luka pukulan pedang, hujaman tombak, atau tusukan anak panah. Namun lihatlah aku sekarang, akan wafat di atas tempat tidurku. Maka janganlah mata ini terpejam (wafat) sebagaimana terpejamnya mata orang-orang penakut. Tidak ada suatu amalan yang paling aku harapkan daripada laa ilaaha illallaah, dan aku terus menjaga kalimat tersebut (tidak berbuat syirik).” (Khulashah Tadzhib Tahdzibul Kamal oleh Shafiyuddin al-Anshari, Hal: 103).

Jadi di sini beriman dengan takdir Allah SWT menyebabkan hidup kita tenang dan menjadikan kita menjadi seorang yang pemberani, kerana kita yakin bahawa semuanya telah ditetapkan oleh Allah SWT. Dan kita hanya menjalani sebabnya di samping tidak mengabaikan usaha kita dalam melindungi kehidupan kita dari sebarang musibah, kesusahan dan kehilangan (seperti Rasulullah SAW sendiri memakai baju besi Ketika dalam perang) di ketika COVID dan influenza memakai mask untuk mengelak jangkitan tetapi hati jangan bergantung kepada sebab, kita hanya bergantung kepada Allah SWT sahaja.

Nabi SAW bersabda dalam hadisnya yang bermaksud:

“Dan ketahuilah, sesungguhnya kemenangan itu beriringan dengan kesabaran. Jalan keluar beriringan dengan kesukaran. Dan sesudah kesulitan pasti akan datang kemudahan.” (Hadis Riwayat at-Tarmidzi)

Jadi untuk mengapai kemenangan dan kejayaan haruslah bersabar dan menuntut pengorbanan semampu yang kita ada. Dan sekiranya bertemu orang yang berjaya, jangan tanya siapa dia sekarang tetapi tanyalah, apa yang telah dia lakukan sehingga telah sampai ketahap kejayaan begini.

Dan Rasulullah SAW sendiri telah menyatakan dari hadis di atas bahawa syarat setiap kemenangan itu adalah kesabaran. Setiap jalan keluar atau solusi itu datang bersama musibah atau kesusahan. Jadi kita harus yakin di ketika ada ujian, bersamanya ada jalan penyelesaian. Ini adalah janji Allah SWT. Allah sudah berfirman dalam ayat al-Insyirah ayat 5 dan 6 yang bermaksud:

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan”

“Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

Sesiapa yang yakin dengan kalimat-kalaimat yang dinyatakan dalam firman Allah SWT dan sabda Rasulullah SAW ajarkan ini maka InsyaAllah dalam keadaan apa-apa pun, akan sentiasa berbaik sangka dengan Allah SWT dan akan sentiasa dalam penjagaan Allah SWT.

Jadi menjaga Allah SWT adalah dengan menjaga perintah-Nya, menjaga larangan-nya, jangan dilanggar. Menjaga peraturan-peraturan yang telah ditetapkan-Nya, menjaga hukum Allah SWT, kerana tanpa menjaga hukum dan peraturan Allah SWT, hidup manusia boleh hancur dan hilang arah, rumah tangga porak peranda, masyarakat hilang kemanusiaan dan negara hancur di tangan pemerintah yang zalim. Dalam rumah tangga, seandainya suami tidak menjalankan tugasnya dan sang isteri tidak memberikan hak-hak suaminya, akhirnya rumah tangga hancur kerana tidak menjaga Allah SWT dan pastinya Allah SWT tidak akan menjaga rumah tangganya dari pelbagai masalah.

Jadi ingatlah Allah SWT secara kususnya memerintahkan kita menjaga solat. Rujuklah apa yang telah Allah SWT katakan dalam surah al-Baqarah ayat 238 yang bermaksud:

“Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”

Apa yang Allah SWT firmankan? Jaga solatmu dengan sepenuh hati. Bukan sekadar menunaikannya, tetapi juga menjaga dari perkara yang membatalkan dan merosakkannya. Jangan sampai solat yang kita lakukan menjadi punca azab di akhirat.

Jangan biarkan kesibukan dunia membuat kita lalai menjaga niat, rukun, syarat dan kewajiban solat serta kekhusyukannya. Kadangkala kita menunaikan solat hanya bila ada waktu, sedangkan urusan dunia seperti pekerjaan dijaga dengan penuh teliti. Solat harus ditunaikan sama seriusnya malah berlebihan lagi seperti dalam penjagaan dan perhatian kita dalam aktiviti harian kita dalam kehidupan.

Takutlah kepada ancaman Allah, yang boleh menimbulkan penyesalan dan kegelisahan seumur hidup. Ingatlah, Allah SWT tidak mengharapkan apa-apa daripada kita, tetapi kita sendiri yang mencari perlindungan dan penjagaan-Nya.

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya…” (Al-Kahfi: 29)

Jadi perhatikanlah apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW dalam sabdanya di bawah yang bermaksud:

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Malulah kalian kepada Allah dengan malu yang sebenar-benarnya.” Para sahabat berkata; “Sungguh kami malu (kepada-Nya) wahai Rasulullah” Baginda bersabda; “Bukan itu, orang yang malu kepada Allah dengan sebenarnya hendaklah menjaga kepala dan yang berada di sekitar kepala; menjaga perut dan apa saja yang masuk ke perut; menjaga kemaluan, dua tangan, dan dua kaki. Dan hendaklah ia mengingat mati dan kehancuran. Barangsiapa yang menginginkan akhirat, nescaya ia meninggalkan perhiasan hidup di dunia dan lebih mementingkan akhirat daripada dunia. Barangsiapa yang melakukan hal tersebut, maka sungguh ia telah malu kepada Allah dengan sebenarnya.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi no 2382)

Maka, ketika kalian bersendirian, milikilah rasa malu kepada Allah SWT dari melakukan apa-apa yang terlarang. Malulah terhadap dosa dan maksiat. Malulah melakukan perkara yang salah di sisi-Nya yang boleh menjadikan kalian hamba yang ingkar dan kufur. Malulah menjadi golongan yang dimurkai Allah SWT. Ingatlah, rasa malu adalah sebahagian daripada iman. Oleh itu, jagalah iman kalian dengan menanam sifat malu dan terus berjuang dalam mujahadah.

Jagalah kepala dan pandanganmu hanya untuk perkara-perkara yang diizinkan Allah SWT. Jangan melihat kecuali apa yang diridai-Nya, jangan mendengar kecuali yang dibolehkan-Nya, dan jangan merasa atau memakan kecuali yang halal di sisi-Nya. Malulah kepada Allah SWT, kerana semua pancaindera yang dianugerahkan adalah daripada-Nya. Jangan sampai nikmat ini disalahgunakan untuk bermaksiat kepada-Nya.

Jagalah perutmu dan yang di bawahnya. Jangan memasukkan yang haram ke dalam perutmu, dan jangan gunakan syahwatmu untuk perkara yang terlarang, sebaliknya pergunakanlah untuk yang halal. Oleh itu, Islam menetapkan perkahwinan sebagai jalan menjaga kesucian keturunan manusia. Allah SWT telah tunjukkan jalan yang halal, maka jauhilah atau jangan hampiri yang haram. Inilah sebahagian daripada sifat-sifat orang yang beriman.

Perlakukanlah wanita di sekeliling kita dengan penuh kehormatan dan bermaruah, sebagaimana kita menginginkan anak-anak dan isteri kita dijaga kehormatan mereka.

Renungilah panduan wahyu di bawah yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.”

“Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya (daripada memandang yang haram).”” (An-Nur : 30-31)

Jarir bin ‘Abdullah RA berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang pandangan yang tidak sengaja. Lalu Baginda SAW menyuruh aku untuk mengalihkan pandangan ku. (Sahih Muslim, Kitab al-Adab, hadis no: 4025)

Dan ada satu hadis yang mengatakan jaminan daripada Nabi SAW bagi mereka yang menjaga mulutnya dan yang di bawah perutnya dengan jaminan dimasukkan ke dalam syurga.

Daripada Sahl bin Sa’d RA, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menjamin bagiku apa yang ada di antara tulang dagunya (mulut dan lidah) dan apa yang ada di antara dua kakinya (kemaluan), maka aku menjamin baginya syurga.” (Hadis Riwayat Bukhari No: 6474) Status: Hadis Sahih

Jaminan syurga kepada seseorang Muslim yang dapat menjaga mulut, lidah dan kemaluannya. Menjaga mulut ialah menjauhi makanan dan minum dari sumber yang haram. Menjaga lidah pula dengan menjauhi dosa lidah melalui umpatan, fitnah, cacian dan dusta. Seterusnya menjaga kemaluan daripada hubungan yang tidak halal dan yang diharamkan seperti yang di bincangkan di atas.

Jadi kalau kita menjaga Allah SWT, dengan melaksanakan perintah-Nya , menjahui larangan-Nya, menjaga aturan-aturan dan hukum-Nya, maka Allah SWT akan menjadikan dua penjagaan kepada kita:

1. Penjagaan dalam keimanan kita.

Kalau kita kehilangan iman, maka tengoklah apa yang di sebut Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Al-A’raf: 179)

“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Al-Hadid: 20)

Jadi penjagaan keimanan agar memastikan seseorang tetap istiqamah dan terhindar daripada perbuatan maksiat. Kadang hati ingin berbuat dosa, tetapi Allah SWT menjaga kita agar tidak melakukannya. Begitu juga anak-anak kita mungkin bukan orang kaya atau berjaya, dan tidak dipandang oleh masyarakat namun keimanan mereka dijaga oleh Allah SWT dalam setiap urusan dunia mereka.

Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah memberikan dunia kepada siapa yang Dia cintai dan juga kepada siapa yang tidak Dia cintai. Tetapi Dia tidak memberikan agama (iman) kecuali kepada orang yang Dia cintai. Maka barang siapa yang diberi agama oleh Allah SWT, maka sungguh Allah SWT telah mencintainya.” (Riwayat Ahmad dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami’ no. 2164)

Hadis ini menunjukkan bahawa kekayaan atau kesenangan dunia bukan ukuran kasih sayang Allah SWT. Sebaliknya, iman dan agama adalah tanda sebenar kasih sayang-Nya. Maka jagalah Allah SWT pasti Allah SWT akan menjaga kita, terutama keimanan kita dan rasa benci kepada kekufuran, kefasikkan, kemaksiatan sepertinya apa yang selalu Nabi SAW doakan yang bermaksud:

“Ya Allah jadikankanlah di hati kami mencintai keimanan dan hiaskannya dalam hati-hati kami. Dan tanamkan di hati kami kebencian kepada kekufuran, kefasikan dan kemaksiatan. Dan Jadikanlah kami termasuk golongan orang-orang yang al-rasyidin (mengikuti jalan yang lurus).” (Riwayat Ahmad dan al-Nasa’i)

Allah SWT itu kekasih orang-orang yang beriman. Allah SWT lah yang mengeluarkan orang-orang beriman itu dari kegelapan kepada cahaya. In adalah salah satu penjagaan Allah SWT.

2. Penjagaan dalam fizik kita.

Seringkali perhatian kita tertumpu kepada aspek fizikal terutama para wanita. Wanita amat mengambil berat mengenai penampilan agar kelihatan muda, sihat, dan terhindar daripada penyakit. Terutama bagi yang sudah berusia, mereka mahu terus mendengar, melihat, berbicara, disayangi suami dan anak-anak, serta berjaya dalam urusan dunia. Segala ini, Allah SWT akan kurniakan kepada mereka yang menjaga hubungan dengan-Nya. Allah SWT bukan sahaja memelihara iman kita, malah turut memelihara kehidupan dunia kita.

Perhatikanlah bagaimana Allah SWT memelihara Nabi Ibrahim AS ketika beliau dilempar ke dalam unggun api yang membara. Lalu, apakah doa dan ucapan Nabi Ibrahim ketika menghadapi ujian itu?

Dalam Syarah Riyadhus Shalihin, Syeikh Muhammad bin Al Utsaimin mengatakan dalam Riwayat Imam al-Bukhari, disebutkan bahawa Abdullah bin Abbas R.A berkata yang bermaksud:

“Kalimat terakhir yang diucapkan Nabi Ibrahim AS ketika dilemparkan ke dalam api adalah ‘Hasbunallahu wa nikmal wakil’ (cukuplah Allah menjadi penolong bagiku, Allah adalah sebaik-baik pelindung atau penolong).”

Apa yang berlaku seterusnya? Secara logiknya, api itu tidak akan padam kecuali disiram hujan, salji, atau ditiup angin kencang. Namun yang menakjubkan, Allah SWT telah memerintahkan api itu agar menjadi dingin dan menyelamatkan Nabi Ibrahim.

“Kami berfirman: ‘Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!'” (Al- Anbiya’: 69)

Ayat ini menggambarkan perintah Allah SWT untuk mengubah sifat api, sehingga ia tidak lagi membakar, sebaliknya menjadi penyejuk dan penyelamat bagi fizikal Nabi Ibrahim AS ketika dilemparkan ke dalamnya.

Begitu juga banyak kisah lain yang diceritakan dalam al-Quran, antaranya kisah Nabi Musa AS ketika berguru bersama Nabi Khidir dalam surah al-Kahfi. Selain mendidik Nabi Musa bersabar, Allah SWT turut memelihara watak-watak dalam cerita itu, termasuk kisah Nabi khidir membunuh seorang anak kerana ia tahu bahawa nantinya ketika besar akan menyesatkan kedua orang tuanya, kisah melubangi perahu seorang miskin agar tidak dizalimi oleh seorang raja yang tamak dan kisah Nabi Khidir memperbaiki dinding rumah roboh kerana di rumah itu ada anak yatim dan di dalamnya terdapat harta peninggalan dari ayah mereka yang soleh. Nabi Khidir mengatakan bahwa apa yang dilakukannya bukanlah kehendak sendiri, melainkan mengikuti petunjuk Allah SWT.

Kesimpulannya,

Apabila kita menunaikan perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya, sesungguhnya kita sedang membina benteng perlindungan yang paling kukuh dan mengapai cinta dan penjagaan Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Jika kamu menolong (agama) Allah SWT, nescaya Allah SWT akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muhammad: 7)

Rasulullah SAW juga bersabda kepada Ibn ‘Abbas RA yang bermaksud:

“Jagalah Allah SWT, nescaya Allah SWT akan menjagamu. Jagalah Allah SWT, nescaya engkau akan mendapati-Nya di hadapanmu.” (Riwayat al-Tirmizi)

Maka, jagalah Allah SWT dalam setiap detik kehidupan sama ada dalam hubungan kita dengan Allah SWT dan juga dalam hubungan kita sesama manusia. Insya-Allah, dengan penjagaan Allah SWT, seluruh hidup kita akan diselubungi reda, kasih, rahmat, hidayah dan keampunan-Nya. Aamiin

Wallahu’alam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 24/11/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.






- Advertisement -