Pusat pengajian warga emas wajar terima bantuan

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor disaran untuk memperluaskan skim bantuan kepada pusat-pusat penempatan warga emas yang berorientasikan pengajian agama, bukan sekadar pusat jagaan semata-mata.

- Advertisement -

​Sallehen Mukhyi (PN-Sabak) berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Lisan di Persidangan Dewan Negeri Selangor, hari ini.

​Menurut Sallehen, wujud keperluan untuk melihat institusi yang menempatkan warga emas di mana penghuninya bukan sahaja dijaga, tetapi diwajibkan mengikuti program pengajian atau mendalami ilmu agama.

​“Selain daripada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan pusat jagaan, ada pusat yang dihuni warga emas tetapi fokusnya bukan penjagaan semata-mata, sebaliknya kepada program pengajian.

​“Sebagai contoh, saya sendiri telah tubuhkan lama (pusat seumpama ini), ada 22 warga emas yang kami jaga. Syaratnya, mereka mesti duduk di situ dan mengaji di pusat pengajian ini,” katanya.

​Beliau turut menjelaskan bahawa penghuni di pusat tersebut terdiri daripada mereka yang tidak mampu bekerja namun masih sihat dan mampu menguruskan diri sendiri.

​Justeru, beliau ingin mendapatkan penjelasan lanjut mengenai bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada institusi berkonsepkan pendidikan seperti ini yang berbeza daripada pusat jagaan konvensional.

​Menjawab persoalan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, institusi tersebut boleh dipertimbangkan di bawah program Sinergi Prihatin.

​Jelasnya, program tersebut menawarkan kerjasama antara badan bukan kerajaan (NGO), pusat kebajikan dan pertubuhan bagi menyalurkan manfaat kepada penghuni.

​“Saya kira format yang dinyatakan oleh Yang Berhormat sebentar tadi, seperti pondok moden ataupun pengajian untuk warga emas itu, mungkin bersesuaian sekiranya dikhususkan dari segi untuk mengangkat martabat dan juga kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada warga emas,” ujarnya.

​Terdahulu, soalan asal dikemukakan oleh Cheong Kian Young (PH-Kajang) yang meminta senarai bantuan Kerajaan Negeri kepada Pusat Jagaan Warga Emas serta senarai tanah rizab untuk pembinaan rumah kebajikan mengikut daerah. – HARAKAHDAILY 24/11/2025

- Advertisement -