Anugerah: Warga beri ruang untuk saya berbakti

Kasman Karate sewaktu menerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul Daerah Kunak 2024..
- Advertisement -

LAHAD DATU: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Kunak, Kasman Karate, menzahirkan rasa syukur atas dua anugerah yang pernah diterimanya iaitu Tokoh Pendidikan dan Tokoh Maulidur Rasul Daerah Kunak 2024.

- Advertisement -

Katanya, tidak semua orang mendapat kepercayaan dan pengiktirafan besar daripada masyarakat.

“Namun bagi saya, dua anugerah ini bukan sekadar gelaran tetapi ia adalah amanah yang mengingatkan saya supaya terus berkhidmat dengan lebih jujur dan bersungguh-sungguh,” ujarnya melalui laman sosialnya pada hari ini.

Menurutnya, dua pengiktirafan itu lahir daripada perjalanan panjang dalam dunia pendidikan, keagamaan dan kerja kebajikan bersama masyarakat Kunak.

“Ia bukan kerana saya hebat, tetapi kerana masyarakat memberikan ruang untuk saya berbakti. Saya bersyukur dan rendah diri menerima penghormatan ini,” katanya lagi.

Tambahnya, sebagai anak kampung, beliau hanya ingin memberi yang terbaik untuk bumi Kunak yang dicintai.

“Semoga dengan sokongan tuan-tuan dan puan-puan, saya dapat terus membawa nilai pendidikan, akhlak dan khidmat kepada seluruh masyarakat Kunak,” tambahnya.

Justeru, beliau menyeru para pengundi agar menzahirkan sokongan kepadanya pada Pilihan Raya Negeri kali ini untuk menjadikan Kunak yang lebih sejahtera.

Kasman berdepan saingan daripada lima calon lagi yang bertanding di DUN Kunak yang mempunyai 24,854 pengundi berdaftar.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.

Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 21/11/2025

- Advertisement -