
KALABAKAN: Calon PERIKATAN NASIONAL bagi DUN Merotai, Hasan Haris mengajak seluruh penduduk untuk kembali menghargai nikmat keamanan, perpaduan pelbagai bangsa serta kekuatan ekonomi tempatan yang masih berpotensi untuk berkembang.
Katanya, hasil daripada program ziarah dari kampung ke kampung, beliau melihat sendiri bahawa masyarakat Merotai mempunyai nilai kekeluargaan dan kesetiakawanan yang tinggi.
“Di Merotai, walaupun kita datang daripada kampung dan latar bangsa yang berbeza, kita masih boleh duduk semeja, berbual, berniaga dan hidup bersama. Ini nikmat besar yang Allah bagi.
“Peranan kita ialah mensyukurinya dan mempertahankannya,” katanya ketika ditemui pemberita dalam program walkabout di Tanah Merah dan UDM Semarak, hari ini.
Tambahnya, beliau turut menyentuh beberapa isu lokal yang sering dibangkitkan penduduk seperti peluang pekerjaan anak muda, akses jalan kampung yang terhad, isu pendidikan serta potensi ekonomi mikro.
“Setiap hari saya jumpa keluarga yang mengadu anak muda susah dapat kerja, peniaga kecil tidak ada bimbingan, jalan kampung rosak dan peluang ekonomi yang sangat terhad. Kita memerlukan pemimpin yang bersungguh-sungguh mahu membantu rakyatnya.
“Merotai ada identiti sendiri, ada kekuatan sendiri. Kalau kita syukuri nikmat ini dan buat keputusan yang betul. Saya yakin Merotai akan menjadi kawasan yang semakin selesa, stabil dan maju untuk anak cucu kita,” jelasnya lagi.
Justeru, dengan kerendahan hati, beliau memohon undi dan sokongan daripada masyarakat Merotai.
“Apa-apapun saya mohon kepada ibu, kakak, acik dan anak muda, satu undi kepada PERIKATAN NASIONAL, kebaikan untuk DUN Merotai kita,” ujarnya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini, Hasan berdepan tiga lagi calon di DUN Merotai yang mempunyai 26,179 pengundi berdaftar.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 21/11/2025




















