Tidak mengemis, pemberian Pusat hak negeri

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ketua Penerangan PAS Terengganu, Mohd Harun Esa menolak dakwaan bahawa negeri itu bergantung atau ‘mengemis’ kepada Kerajaan Persekutuan.

Tegasnya, pemberian kewangan Pusat kepada negeri-negeri adalah hak yang diperuntukkan melalui Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan.

- Advertisement -

Beliau berkata, semua negeri menerima pemberian Persekutuan dalam bentuk pemberian tetap atau bantuan kewangan, termasuk Terengganu yang pada tahun 2024 menerima RM449.7 juta, iaitu 4.7 peratus daripada keseluruhan jumlah pemberian.

“Bukan Terengganu sahaja menerima pemberian ini. Malah negeri-negeri lain mendapat jumlah yang jauh lebih besar seperti Johor RM1.008 bilion (10.7 peratus), Selangor RM986.3 juta (10.5 peratus), Perak RM872.1 juta (9.3 peratus) dan Pahang RM654.8 juta (7.0 peratus),” katanya.

Menurut beliau, mengikut kaedah perakaunan kerajaan, hampir semua bentuk pemberian perlu direkodkan sebagai Terimaan Bukan Hasil, seterusnya digunakan bagi menampung perbelanjaan mengurus kerajaan negeri.

Harun berkata, Kerajaan Terengganu tidak pernah mempertikaikan pemberian tersebut dan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut menyatakan penghargaan serta menyeru semakan semula kadar pemberian agar lebih adil mengikut keperluan semasa.

“Jadi, kalau ditambah baik, semua negeri akan dapat manfaat. Tapi, sekalipun ada negeri yang pertikai apa-apa yang tak kena dengan pemberian ni, pun tak salah.

“Sebab ia hak negeri yang dijamin oleh undang-undang. Kerajaan negeri yang bertanggungjawab pasti akan pertahankan hak ni,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pembangunan negara dilaksanakan melalui perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan diagihkan ke negeri-negeri melalui rolling plan yang diluluskan.

Menurut data, Johor menerima jumlah tertinggi peruntukan pembangunan bagi RP1 hingga RP5 RMK12, iaitu RM22.06 bilion (8.1 peratus), diikuti Selangor (RM15.29 bilion; 5.6 peratus) dan Pahang (RM14.21 bilion; 5.2 peratus), manakala Terengganu hanya memperoleh RM7.49 bilion (2.7 peratus).

“Since peruntukan dan projek ni mesti sampai di negeri-negeri, kerajaan negeri yang bijak dan bagus bukan setakat akan propose, tapi akan ‘fight the good fight’ demi dapatkan apa yang terbaik untuk rakyat dan negeri dia.

“Sebab tu ada permintaan demi permintaan, tuntutan demi tuntutan daripada negeri-negeri sama ada secara senyap atau bising, secara formal atau informal.

“Jadi, kalau ada orang kata Terengganu mengemis, dialah sebenarnya yang tak berapa cerdik, tak faham cara fiscal federalisme sekarang berfungsi,” katanya.

Dalam isu Dana Khusus Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau royalti petroleum, Harun berkata, hak Terengganu telah jelas melalui akta, perjanjian dan amalan pentadbiran sejak dahulu.

“Jadi bukti nyata dan sahih bahawa memang Terengganu berhak. Sejak sekian lama dulu lagi Terengganu dibayar royalti ni. Masa dan nilai yang dibayar pun sesuai dengan akta dan perjanjian. Kecuali hanya ketika PAS pimpin Kerajaan Negeri Terengganu.

“Dulu, pernah tak dibayar langsung. Sekarang pembayaran tak menentu jumlah, jadual dan kaedah. Tambah pula dengan prosedur yang menyusahkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sendiri.

“Tapi, sebab ada orang politik di Persekutuan nak macam tu untuk tekan pesaing dia dekat negeri, maka jadilah apa yang jadi sekarang,” ujarnya.

Beliau berkata, walaupun catatan akaun 2024, DKKP menunjukkan jumlah yang besar iaitu RM1.553 bilion, namun hanya RM733.05 juta sahaja dibayar terus kepada kerajaan negeri.

“Itu pun terhad untuk emolumen dan bantuan kewangan untuk penjawat awam sahaja. Baki RM644.30 juta lagi dibayar terus kepada pembekal, kontraktor atau penerima manfaat berkenaan. RM175.72 juta lagi MoF potong terus sebagai bayaran balik pendahuluan dan hutang.

“Begitu juga berlaku bagi tahun 2025, hanya RM583.35 juta sahaja dibayar terus kepada kerajaan negeri. RM500.16 juta lagi dibayar terus dan dipotong terus kepada pihak berkenaan.

“Sepatutnya dibayar kepada Terengganu dengan maksud masukkan dalam akaun kerajaan negeri, bukan nyata dalam catatan akaun sahaja. Baru lah kerajaan negeri boleh rancang dan tentukan sendiri keutamaan nak belanja untuk apa.

“Bila yang berlaku sebaliknya, hilanglah autonomi kerajaan negeri untuk urus duit sendiri. Sebab tu Dr Sam berulang kali sebut benda ni dan dia kata akan terus sebut demi rakyat dan Negeri Terengganu,” katanya.

Kata beliau, hanya pihak yang tidak memahami isu royalti petroleum termasuk mereka yang sebelum ini melepaskan hak tersebut, khususnya Umno serta rakan sekutu dalam gabungan PH-BN masih enggan menerima hakikat bahawa Terengganu berhak ke atas royalti berkenaan.

“Situ duduk. Tak payah nak perbodohkan rakyat kononnya Terengganu mengemis atau tak pandai cari hasil sendirilah,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/11/2025

- Advertisement -