
LAHAD DATU: Pendidikan menjadi perjuangan utama calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Kunak, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Kasman Karate.
Beliau menjelaskan bahawa pengalaman lebih sedekad dalam bidang pendidikan yang beliau ceburi membawa kepada idea pembangunan masyarakat mesti bermula dengan kekuatan ilmu, yang menjadi asas utama kemajuan Kunak.
Menurutnya, penglibatan beliau bermula sejak tahun 2010 dan 2019, apabila diberi amanah untuk menubuhkan empat buah PASTI dan sebuah SRITI di Kunak.
Katanya, penubuhan PASTI dan SRITI ini bukan sekadar membuka kelas, tetapi membina tapak pendidikan awal yang tersusun untuk anak-anak kecil.
“Pada tahun 2019, saya diberi tanggungjawab mempelopori SRITI pertama di Kunak dan saya melihat sendiri bagaimana murid-murid menunjukkan peningkatan ketara termasuk menjadi johan pertandingan kebangsaan anjuran MAIS,” ujarnya.
Menurutnya, kejayaan itu menjadi bukti bahawa pendidikan berteraskan tarbiah mampu membentuk generasi yang memiliki akhlak kukuh.
Kasman menegaskan bahawa anak-anak yang dibina dengan asas tarbiah akan membesar sebagai individu yang berprinsip.
Beliau turut mengembangkan Tadika Amal melalui kerjasama Yayasan Amal Wilayah dan Sabah dibuat kerana mahu memastikan lebih ramai kanak-kanak menerima pendidikan awal yang berkualiti.
“Saya mahu setiap anak di Kunak mendapat permulaan hidup yang terbaik,” tegasnya.
Katanya lagi, beliau akan terus berpegang pada harapan bahawa Kunak harus maju secara seimbang.
“Kunak hanya benar-benar maju apabila ilmu, akhlak dan jati diri rakyatnya terbina dengan kukuh,” jelasnya.
Pada PRN kali ini, beliau berdepan saingan daripada calon GRS, PIS, PPRS, BN dan Warisan di DUN Kunak yang mempunyai 24,854 pengundi berdaftar.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 19/11/2025




















