
SATU perkara yang menarik untuk diperhatikan ialah, setiap kali berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, banyak parti baharu muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan, mewarnai landskap politik negeri ini. Fenomena ini menambah kepada kewujudan parti-parti sedia ada, seterusnya menyebabkan pertandingan banyak penjuru di hampir setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sudah tentu keadaan ini membawa kepada perpecahan undi dan memberikan peluang yang hampir seimbang kepada semua parti politik. Natijahnya, kemenangan mana-mana calon tidak semestinya menggambarkan kehendak majoriti pengundi.
Walaupun kepelbagaian parti wajar diraikan sebagai tanda kematangan demokrasi, ketiadaan parti dominan untuk membentuk kerajaan membuka ruang kepada amalan lompat parti. Aktiviti ‘membeli’ wakil rakyat yang menang pula sering kali menjadi lebih rancak selepas pilihan raya berbanding sebelum pengundian.
Di peringkat Persekutuan, kita mempunyai Akta Anti Lompat Parti iaitu Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663). Namun realitinya, ia tidak berfungsi seperti yang diharapkan, sebagaimana dapat dilihat dalam kes melibatkan enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada PMX. Maka, apakah jaminan bahawa kejadian seumpamanya tidak akan berulang di Sabah? Jika perbezaan jumlah kerusi antara parti terlalu kecil, kerajaan yang dibentuk akan mudah terdedah kepada ketidakstabilan, sebagaimana yang berlaku dalam beberapa siri PRN lalu.
Menyedari hakikat ini, PERIKATAN NASIONA (PN) Sabah kini menampilkan calon-calon kepimpinan yang bersih serta berintegriti tinggi, yang bersedia berunding dan membentuk kerajaan seperti yang ditegaskan oleh Pengerusi PN Sabah, Dato’ Seri Ronald Kiandee. PAS sebagai komponen utama PN turut berkongsi pendirian yang sama, kerana kestabilan kerajaan adalah keutamaan bagi mengelakkan kegawatan yang menyusahkan rakyat serta membazirkan masa, tenaga dan wang negara.
Adalah lebih baik sekiranya gabungan dapat dibentuk lebih awal bagi mengelakkan pertembungan yang merugikan semua pihak. Malangnya, sentimen politik dan keyakinan setiap calon serta parti yang merasakan mereka mampu menang sering kali menyukarkan pembentukan kesepakatan sebelum pilihan raya.
Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah dikembalikan kepada negeri menjadi antara perkara utama yang diketengahkan oleh hampir semua parti. PN juga menyokong pelaksanaan tuntutan ini sebagaimana termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.
Namun bagi PN, tuntutan ini bukan sekadar soal mendapatkan semula hasil negeri, tetapi juga bagaimana hasil itu diurus dan siapa yang menguruskannya. Integriti, amanah dan tanggungjawab adalah asasnya. Tiada makna pulangan hasil yang besar jika ia diurus oleh mereka yang terpalit rasuah atau penyelewengan dana rakyat. Jika individu sebegitu terus dipilih, rakyat Sabah tidak akan menikmati manfaat sebenar daripada hasil negeri sendiri.
PN Sabah yang diketuai oleh Dr. Ronald Kiandee, bersama timbalannya, Dr. Aliakbar serta seluruh barisan kepimpinan negeri, bersedia memimpin dengan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik.
Sabah berhak mendapat kerajaan yang stabil, makmur dan berprinsip. PN bersedia memikul amanah tersebut.
Selamat Mengundi.

DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Merangkap Pimpinan Tertinggi PN Pusat – HARAKAHDAILY 19/11/2025




















