
KOTA KINABALU: “Ingatlah, bila ahli politik itu punya mindset ‘YB, Yang Berniaga, maka, rakyat di bawahlah yang menjadi mangsanya,” kata Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.
Menurut calon PN bagi DUN Karambunai itu, rakyat menjadi penonton kekayaan kepada pemimpin.
Sehubungan itu, kata beliau kalau sudah menjadi orang politik, maka jangan berfikiran untuk berniaga.
“Kalau dia mahu jadi orang politik dengan angan-angan untuk bina rumah besar, gaji ADUN ini bukan besar, peruntukan bukan untuk YB, peruntukan untuk rakyat.
“Jadi daripada mana dia mahu beli rumah yang besar, kereta yang besar, mesti dia akan ada rakan niaga. Rakan niaga ini siapa? kontraktor.
“Jadi bila sudah berkawan dengan kontraktor, berbincang dengan kontraktor, dia cari kontrak, jumpa orang-orang tertentu, jumpa jabatan kerajaan, dapat kontrak dia bagi pada kontraktor dia.
“Maka akhirnya jadilah dia YB ‘Yang Berniaga’. Bila kontraktor sudah keluar duit, siapa yang jadi mangsa?” ujar Dr Aliakbar dalam satu video yang dimuat naik di laman Facebooknya.
Susulan itu nanti, ujarnya segala infrastruktur akan hilang dan tidak mempunyai kualiti dan yang terkesan paling hujungnya pastilah rakyat dan masyarakat.
Pada Pilihan Raya Negeri kali in, beliau berdepan saingan 11 penjuru di DUN Karambunai yang mempunyai 39,247 pengundi berdaftar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 19/11/2025




















