Perlu ambil pendekatan serius isu pakaian artis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mengambil pendekatan lebih serius dalam menangani isu penampilan artis yang semakin mencetuskan polemik dalam masyarakat, khususnya melibatkan selebriti Muslim.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, perkembangan fesyen dalam industri hiburan menunjukkan keperluan mendesak untuk kerajaan memperkukuh garis panduan sedia ada agar ia benar-benar dihormati dan dipatuhi.

- Advertisement -

“Isu pakaian artis kembali menjadi topik hangat apabila beberapa penampilan selebriti menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

“Kritikan terhadap pakaian kumpulan Dolla, keluhan pereka fesyen mengenai tajaan busana, perdebatan gaya lelaki yang semakin gender-fluid (identiti jantina berubah-ubah), dan trend muslimah moden dalam kalangan selebriti.

“Semuanya mencerminkan perubahan besar dalam landskap fesyen hiburan Malaysia. Namun, di tengah perkembangan fesyen global, wujud satu persoalan penting, bagaimana keseimbangan dapat dicapai antara kebebasan berkarya dan tanggungjawab sosial, terutama bagi artis Muslim yang muncul di ruang awam?” soalnya.

Beliau berkata, isu pakaian bukan sekadar hal peribadi artis, tetapi membabitkan nilai budaya, identiti negara dan kesan terhadap generasi muda.

“Malaysia merupakan sebuah negara bermasyarakat majmuk, namun majoriti rakyatnya beragama Islam dan agama rasmi negara juga adalah Islam. Walaupun terdedah kepada budaya global melalui media sosial, nilai kesopanan dan ketatasusilaan masih dijadikan kayu ukur utama dalam menilai penampilan seseorang termasuk golongan selebriti.

“Kes Dolla misalnya, menunjukkan bahawa masyarakat masih sensitif terhadap gaya berpakaian yang dianggap terlalu seksi atau mencolok mata. Kritikan bukan sekadar soal estetika, tetapi soal identiti dan budaya yang dirasakan tidak dihormati.

“Dalam konteks ini, pakaian artis bukan sekadar pilihan peribadi. Ia dibaca sebagai simbol nilai dan contoh kepada jutaan penonton, khususnya remaja,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan melalui agensi berkaitan perlu memastikan garis panduan berpakaian bagi artis Muslim bukan sekadar berbentuk nasihat, tetapi disertakan mekanisme penguatkuasaan yang jelas.

“Garis panduan ini akan membantu artis memahami batas syarak dalam ruang awam. Namun sekiranya garis panduan ini tidak dipatuhi, perlu ada tindakan undang-undang bertujuan melindungi masyarakat daripada normalisasi perbuatan yang bercanggah dengan nilai Islam dan budaya Malaysia.

“Sejarah menunjukkan bahawa polisi yang bersifat nasihat semata-mata, kod etika yang tidak mengikat serta garis panduan tanpa penalti yang jelas sering gagal mengubah tingkah laku industri hiburan. Apabila artis atau penganjur tidak takut terhadap sebarang implikasi, garis panduan akan dipandang ringan,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan melalui JAKIM, institusi pendidikan dan pereka fesyen Muslim bekerjasama mewujudkan program khas untuk melahirkan pereka yang memahami prinsip syariah dalam fesyen.

“Ini penting kerana penampilan artis berada di ruang awam, ditonton jutaan peminat dan memberi kesan psikologi serta budaya kepada remaja.

“Aspek halal bukan sahaja perlu dilihat pada makanan, minuman dan produk pengguna sahaja, tetapi juga perlu dilihat dan skop pematuhan syariah yang lebih luas,” katanya.

Menurutnya lagi, para peminat khususnya dari kalangan masyarakat perlu dididik dan dipupuk kefahaman bahawa artis tidak seharusnya dijadikan standard mutlak bagi kecantikan atau nilai.

“Seni dan hiburan dibenarkan dalam Islam selagi tidak melanggar batas syarak, tidak menormalisasikan maksiat dan tidak merosakkan akhlak generasi muda,” katanya.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat berkata, isu pakaian artis Malaysia bukan hanya merupakan isu fesyen, malah ia mencerminkan pertarungan nilai, arus globalisasi dan perubahan identiti masyarakat.

“Jika industri hiburan ingin terus berkembang dengan bermaruah, semua pihak artis, penganjur acara, pereka fesyen, agensi kerajaan dan para peminat perlu memainkan peranan masing-masing.

“Sudah tiba masanya kita semua mengambil serius untuk membina ekosistem hiburan yang bukan sahaja kreatif dan kompetitif, tetapi juga selaras dengan identiti Muslim dan budaya Malaysia.

“Justeru, tindakan tegas, pendidikan berterusan serta pembudayaan kesopanan mesti digerakkan bersama sebagai satu gerakan nasional. Malaysia hanya akan melahirkan generasi muda yang berakhlak jika nilai ini dipertahankan tanpa kompromi, penuh integriti dan tanggungjawab,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/11/2025

- Advertisement -