Tekad perkasa institusi syariah, kefahaman rakyat

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah terus memberi keutamaan kepada usaha memperkasakan institusi syariah termasuk meningkatkan kefahaman rakyat terhadap perjalanan Mahkamah Syariah serta aspek-aspek berkait undang-undang Islam.

Pengerusi Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat, menegaskan komitmen itu adalah selari dengan titah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, yang menyeru agar struktur Mahkamah Syariah disemak semula dan diperkasakan.

- Advertisement -

Menurutnya, pada Ogos 2024, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah telah meluluskan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 yang memasukkan Mahkamah Syariah di bawah Perlembagaan Negeri.

“Ahli-ahli dewan turut meluluskan pindaan kepada Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam yang menambah baik struktur hierarki Mahkamah Syariah di Kedah daripada tiga peringkat kepada empat peringkat iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Utama Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Wacana: Bidang Kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah di Dewan Seri Melor, Seri Mentaloon, di sini Ahad lalu.

Jelasnya, pindaan yang dibuat itu bertujuan mengukuhkan kedudukan undang-undang Mahkamah Syariah dengan meletakkannya secara jelas sebagai sebahagian daripada Undang-Undang Tubuh Negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau itu berkata, wacana tersebut amat penting untuk memahami realiti perundangan negara serta hala tuju pembaikan yang diperlukan.

“Saya berharap kita dapat melahirkan kesedaran khususnya dalam kalangan generasi muda yang terlibat dalam bidang undang-undang, sama ada syariah atau sivil.

“Kematangan, pengalaman dan ilmu yang dimiliki mampu dimanfaatkan dalam misi mengangkat serta memperkasa undang-undang Islam di Malaysia,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 19/11/2025

- Advertisement -