Poster fitnah: Dr Aliakbar buat laporan polis

Datuk Dr Aliakbar Gulasan bercakap kepada media selepas membuat laporan polis berhubung poster memfitnah beliau di Balai Polis Alamesra, Kota Kinabalu, hari ini.
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan membuat laporan polis terhadap penyebaran sebuah poster fitnah yang tular di Facebook.

- Advertisement -

Justeru, Timbalan Pengerusi PN Sabah itu menyifatkan poster berkenaan sebagai satu tindakan jahat yang menggugat keharmonian masyarakat.

Katanya, laporan itu dibuat terhadap satu posting menggunakan nama akaun Romeo Ansow yang memaparkan seolah-olah beliau mengeluarkan kenyataan mengharamkan arak dan judi di Karambunai.

Beliau menegaskan poster tersebut tidak pernah dikeluarkan oleh pihaknya dan dibuat tanpa sumber yang sah, dipercayai direka oleh individu berkenaan bertujuan menjejaskan reputasinya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurutnya, hasil semakan Sekretariat PN Karambunai mendapati individu yang memuat naik poster itu mempunyai kaitan dengan Barisan Nasional di DUN Karambunai.

“Untuk makluman semua ini bukan kali pertama dia meletakkan fitnah kepada saya, ini adalah kali kedua. Sebelum ini ketika mana saya menziarahi kematian salah seorang warga bukan Islam, dia juga memfitnah pelbagai perkara, saya anggap perkara ini sangat tidak harmoni bagi kita rakyat Sabah.

“Dan saya boleh bagi jaminan dalam perjumpaan pada pagi ini, posting terkini yang mengatakan saya akan mengharamkan arak di Karambunai di Sabah saya rasa satu perkara yang tidak relevan dan juga tidak berfakta.

“Di mana-mana pun kita tidak sebut, hatta saya membawa politik damai, keharmonian dan kepelbagaian agama,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Alamesra, di sini, hari ini.

Tambahnya, masyarakat Sabah sememangnya hidup dalam suasana kepelbagaian dan kunjungan ke rumah orang bukan Islam yang menghidangkan arak bukan perkara luar biasa, sekali gus menolak dakwaan bahawa beliau anti kepada mana-mana kaum atau amalan budaya.

Dr Aliakbar turut menzahirkan kekecewaan apabila individu berkenaan memadam posting tersebut selepas mengetahui laporan polis akan dibuat, menyifatkan tindakan itu sebagai ‘baling batu sembunyi tangan’.

Beliau menegaskan rakyat Sabah perlu menolak cara berpolitik yang berasaskan fitnah kerana ia merosakkan perpaduan, keharmonian dan nilai moral dalam masyarakat.

“Akhir saya mahu sebut, mungkin dia tidak jumpa sudah kelemahan kita dalam berkempen, dia maHu sebut isu rasuah, tiada isu rasuah, dia maHu sebut tidak turun padang, terbukti kami sudah turun padang lama, dia mahu sebut kita tidak menyantuni pelbagai agama.

“Saya rasa dia sudah tidak ada hujah, kita menyantuni semua pelbagai pihak pelbagai kaum. Jadi diantara senjata yang dia boleh guna hanyalah buat mereka sesuatu, mencipta sesuatu yang sebenarnya perkara itu adalah suatu fitnah,” ujarnya.

Dr Aliakbar menjelaskan bahawa fitnah adalah perbuatan yang dilarang agama dan penyebaran satu poster boleh mencetuskan pelbagai lagi posting tidak benar yang berpotensi mengelirukan masyarakat.

Beliau turut menegur individu lain yang teruja menyebarkan fitnah tersebut dan menyeru agar bermuhasabah kerana tindakan sedemikian memecah-belahkan masyarakat dan menjadi ejen perpecahan.

Katanya, serangan terhadap dirinya dalam kalangan 11 calon bertanding menunjukkan bahawa pihak lawan melihat kedudukannya berada pada landasan yang kukuh di Karambunai.

“Saya yakin kita berada pada kedudukan yang baik, maka tidak ada isu yang besar, tidak ada ruang-ruang untuk mereka serang kita. Maka jalan mereka melakukan perkara-perkara yang tidak betul,” katanya.

Beliau mengingatkan jentera PN agar kekal tenang dan terus menjalankan tugas dengan beradab serta mengajak semua pihak berpolitik secara matang tanpa terdesak hingga mencemarkan keharmonian masyarakat.

Justeru, bekas pensyarah Universiti Malaysia Sabah itu berharap laporan polis itu akan membawa siasatan sewajarnya dan mengakhiri penyebaran fitnah yang mencetuskan kegusaran awam sepanjang kempen berlangsung. – HARAKAHDAILY 19/11/2025

- Advertisement -