
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang digesa menghentikan pembinaan asrama warga asing yang mendapat bantahan dari majoriti penduduk setempat, kemuka Mohamad Shukor Zakariah (PN-Pulau Betong).
Beliau berkata, projek tersebut sama sekali tidak wajar diteruskan kerana kehadiran warga asing dalam jumlah besar menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk tempatan, khususnya berkaitan perbezaan budaya, tingkah laku dan tahap kebersihan.
“Risiko ketegangan sosial boleh berlaku, di samping peningkatan kes-kes jenayah seperti mencuri, gangguan seksual dan pelbagai tingkah laku negatif,” katanya.
Shukor turut menegaskan bahawa beban terhadap infrastruktur sedia ada pasti meningkat sekiranya projek itu dilaksanakan, ujar beliau dalam sesi perbahasan Bajet 2026 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri, di sini kelmarin.
“Bekalan air dan elektrik akan terjejas, sistem kumbahan pula tidak mampu menampung kepadatan penduduk secara mendadak,” katanya bantahan penduduk itu merentasi semua latar belakang tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.
Beliau turut membentangkan jumlah sokongan bantahan rasmi daripada pelbagai latar belakang masyarakat termasuk enam tokoh pemimpin politik iaitu Nurul Izzah Anwar (PKR), Dato’ Azrul Mahathir (PAN), Dato’ Muhammad Bakhtiar (PKR), Datuk Musa Sheikh Fadzir (Umno), Yeoh Chin Kah (MCA) dan Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff (PAS).
Bantahan tersebut turut datang dari 22 kumpulan politik, 12 Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK), sembilan Qaryah termasuk surau, dua wakil tokong dan tujuh persatuan penduduk.
Juga, enam pusat pendidikan sekolah termasuk pusat aktiviti kanak-kanak , tiga persatuan perniagaan, 13 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan tiga dari wakil peladang serta nelayan.
Dalam perbahasan sama, Shukor menzahirkan harapan agar semua Pondok Polis di Balik Pulau diperkasakan menjadi Balai Polis penuh bagi memperkukuh keselamatan setempat.
“Kita mahu Pondok Polis Pulau Betong dinaik taraf menjadi Balai Polis Pulau Betong dan Pondok Polis Air Putih menjadi Balai Polis Air Putih. Kita tidak mahu mendengar mana-mana pondok polis cuba ditutup,” tegasnya.
Beliau berkata, Balai Polis yang lengkap dengan prasarana akan memberi keberkesanan lebih mantap dan mapan dalam menjaga keselamatan kampung-kampung di kawasan berkenaan.
Shukor juga membangkitkan isu tindakan meroboh gerai-gerai di Taman Seri Indah, Balik Pulau, yang menurutnya melibatkan hampir semua pemilik berbangsa Melayu.
Beliau berkata, masyarakat setempat mempersoalkan mengapa gerai minuman keras Kim Kim, yang turut berada di bahu jalan, tidak dikenakan tindakan yang sama.
“Saya ingin mendapat penjelasan, mengapa tindakan roboh hanya dikenakan kepada gerai-gerai tertentu?” katanya menegaskan bahawa rakyat berhak mendapat layanan adil tanpa sebarang sikap pilih kasih atau pendirian berat sebelah. – HARAKAHDAILY 19/11/2025











