
GEORGE TOWN: Abidin Ismail (PN-Sungai Bakap) menzahirkan kebimbangan berhubung beberapa isu membabitkan rakyat, khususnya berkaitan mutu projek Rumah Mampu Milik negeri.
Dalam ucapannya, Abidin menghargai usaha kerajaan negeri membangunkan unit Rumah Mampu Milik atau Rumah Mutiaraku yang kini mencecah 170,706 unit setakat 31 Oktober 2025.
Namun, beliau mendedahkan wujud aduan daripada pembeli yang mendakwa pemaju sengaja melengahkan pembaikan kecacatan seperti retakan struktur, kerosakan sistem paip dan masalah kebocoran.
Beliau memberi contoh insiden di Apartment Casa Ara, Sungai Ara yang masih belum diselesaikan meskipun aduan dibuat dalam tempoh Defect Liability Period (DLP).
“Apakah sistem pemantauan kerajaan negeri bagi memastikan pemaju, khususnya dalam projek perumahan mampu milik, menyelesaikan pembaikan dalam tempoh tanggungan kecacatan?
“Apakah tindakan di bawah Enakmen Lembaga Perumahan Pulau Pinang 2010 terhadap pemaju yang gagal berbuat demikian? Dan apakah penyelesaian untuk pemilik rumah Casa Ara yang telah tertindas sekian lama?” soal Abidin.
Beliau menyuarakan perkara itu dalam sesi perbahasan Bajet 2026 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri, di sini kelmarin.
Dalam perbahasan sama, Abidin juga menyentuh kegusaran rakyat terhadap kes keselamatan di sekolah yang menurutnya semakin membimbangkan.
Beliau menyifatkan sekolah sepatutnya menjadi kawasan paling selamat bagi anak-anak, namun situasi semasa menunjukkan sebaliknya.
Menurutnya, masyarakat kini digemparkan dengan pelbagai tragedi melibatkan pelajar seperti kes bunuh, buli hingga menyebabkan kematian, rogol beramai-ramai, gangguan seksual serta ketagihan vape.
Abidin turut berkongsi aduan guru-guru yang mendakwa mereka kini ‘hanya mampu mengajar tetapi tidak lagi mendidik’ kerana setiap tindakan tegas sering ditafsir sebagai usaha untuk mencederakan murid.
Beliau menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri perlu lebih serius mengenal pasti punca utama dan merangka mekanisme yang lebih ampuh bagi membendung gejala tersebut.
“Program pengukuhan sahsiah dan emosi pelajar memang sudah dilaksanakan, namun sudah tiba masanya ia diberi nafas baharu dengan penglibatan ibu bapa secara lebih serius bagi menangani isu ini secara bersama,” katanya.
Abidin menegaskan bahawa kedua-dua isu ini perumahan rakyat dan keselamatan pelajar memerlukan tindakan segera dan proaktif agar kebajikan rakyat tidak terus terabai. – HARAKAHDAILY 19/11/2025











