
KUALA TERENGGANU: Projek pembangunan Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau di Tasik Kenyir dilancarkan Perdana Menteri pada Julai lalu, kini berada dalam fasa penilaian bidaan kontrak sebelum pelaksanaan fasa pertama dimulakan.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, projek itu merupakan antara inisiatif tenaga boleh diperbaharui terbesar sedang dirancang Kerajaan Negeri.
Menurutnya, projek berkenaan adalah sebahagian daripada usaha memperkasa sektor tenaga hijau selaras dengan Pelan Induk Teknologi Hijau Terengganu 2030 (PITiH 2030) serta Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Pembangunan projek ini akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tiga fasa utama, melibatkan integrasi antara tenaga solar dan tenaga hidro bagi mewujudkan sistem penjanaan tenaga yang lebih stabil, efisien dan mesra alam.
“Pada masa ini, proses penilaian terhadap bidaan kontrak sedang dijalankan bagi pelaksanaan Fasa 1 projek ini. Kerajaan negeri melalui agensi pelaksana sedang meneliti cadangan daripada syarikat-syarikat yang berpengalaman dalam pembangunan tenaga solar terapung berskala besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Zawawi Ismail (PAS-Telemung) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Nurkhuzaini berkata, fasa pertama projek itu dijangka menjana kapasiti tenaga sebanyak 500 megawatt (MW) yang akan disambungkan ke grid nasional bagi menyokong keperluan tenaga negeri serta meningkatkan sumbangan tenaga boleh diperbaharui.
“Pelaksanaan kontrak dijangka akan ditawarkan kepada kontraktor yang layak pada suku kedua tahun 2026 dan seterusnya memulakan fasa pembinaan serta pemasangan sistem solar terapung di beberapa zon strategik di Tasik Kenyir,” katanya.
Menurut beliau, projek berkenaan bukan sahaja menyokong agenda tenaga hijau negeri, tetapi juga dijangka menjana peluang pekerjaan baharu dalam bidang kejuruteraan, tenaga dan penyelenggaraan teknologi hijau. – HARAKAHDAILY 14/11/2025




















