
KUALA LUMPUR: Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) menuntut penjelasan kerajaan berhubung langkah konkrit yang diambil bagi menangani isu hakisan tanah di kawasan sempadan Malaysia–Thailand yang kian membimbangkan, khususnya di kawasan Rantau Panjang.
Beliau menyentuh peruntukan di bawah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang melibatkan projek penandaan, pengukuran serta penyelenggaraan sempadan antarabangsa.
“Saya ingin tahu sejauh mana usaha telah dibuat untuk penandaan sempadan Malaysia–Thai, kerana sempadan ini berada di dalam kawasan sungai yang paling dalam. Bagaimana kerajaan memastikan tanah di sebelah Malaysia tidak terus terhakis setiap kali banjir melanda?” soal beliau.
Menurutnya, pembinaan benteng di sebelah Thailand menyebabkan arus sungai berubah dan menolak ke arah tanah Malaysia, mengakibatkan tebing semakin menyempit dan sempadan negara semakin berisiko terhakis.
“Saya mohon penjelasan mengenai usaha kerjasama kerajaan antara kerajaan (G to G) bagi menyelesaikan isu ini agar ia tidak memberi kesan jangka panjang kepada kedaulatan negara kita,” tegas beliau.
Siti Zailah turut menekankan keperluan pembinaan tembok serta kerja pendalaman sungai disegerakan bagi mengurangkan risiko bencana banjir dan kehilangan tanah di kawasan sempadan.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet 2026 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini kelmarin.
Dalam perbahasan yang sama, Siti Zailah turut mempersoalkan Dasar Baharu Sewaan Pesawat Udara melibatkan kos sebanyak RM7.41 juta.
Beliau meminta penjelasan terperinci daripada Kementerian mengenai kepentingan sebenar sewaan tersebut, serta strategi penjimatan yang akan dilaksanakan bagi memastikan ia tidak membebankan kewangan negara.
“Saya ingin tahu apakah keperluan sebenar sewaan pesawat udara ini dan bagaimana kerajaan memastikan perbelanjaan berjuta ringgit ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta tidak menjadi beban kewangan negara,” ujarnya.
Beliau juga menyeru agar setiap perbelanjaan kerajaan menitikberatkan kecekapan, ketelusan dan keberhasilan, agar rakyat mendapat pulangan sebenar daripada setiap sen yang dibelanjakan. – HARAKAHDAILY 14/11/2025











