
KUALA LUMPUR: Objektif kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 masih kabur walaupun kerajaan mensasarkan kedatangan 35.6 juta pelancongan antarabangsa selain mampu menjana pendapatan sebanyak RM147.1 bilion.
Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) berkata, selain itu slogan ‘Malaysia Truly Asia’ digunakan semula setelah diperkenalkan 26 tahun lalu sementara video promosi ditarik balik selepas menerima kritikan.
Beliau berkata, rakyat juga tidak yakin angka dan visual yang indah, namun tersirat realiti sebenar mengenai situasi sektor pelancongan di negara ini berbanding negara jiran, Singapura dan Thailand.
“Apakah unik ‘selling proposition’ kali ini atau kita sekadar ulang kempen lama, menukar tema dan logo tapi tidak menukar cara fikir, lebih parah ROI untuk setiap ringgit promosi pun tidak jelas.
“Bagaimana rakyat mahu yakin setiap peruntukan jutaan ringgit tu memberi pulangan nyata,” katanya pada perbahasan belanjawan 2026 peringkat jawatankuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) semalam.
Dalam perbahasan itu Rushdan turut menegur pentadbiran kerajaan yang dilihat telah terperangkap dengan gejala pemberian peruntukkan diberikan secara ‘one-off’ bagi menjalankan aktiviti kementerian.
Inisiatif itu kata beliau, mengambarkan kerajaan tidak memperdulikan impak biarpun berkesan atau tidak bergantung kepada pelbagai faktor seperti cara pelaksanaan, ketelusan dan memberi makna kepada rakyat.
Beliau secara sinis berkata, langkah itu menjadikan pemain utama sektor pelancongan termasuk pengiat kesenian dan kebudayaan menunggu geran kerajaan seperti menunggu buah durian yang luruh pada musimnya.
“Di mana ‘blue print’ MOTAC untuk jadikan seni dan warisan sebagai ekonomi sebenar rakyat bukan sekadar lampiran pelancongan dan segala khazanah bangsa yang kian hilang ditelanan kemajuan kononnya.
“Apakah MOTAC akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk memperkenalkan insentif cukai budaya agar syarikat dan koperasi berani melabur dalam seni tempatan, bukan dalam batu konkrit,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2025











