
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu berhasrat memperluas pelaksanaan hukuman sebat syariah di luar penjara sebagai langkah memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap keadilan dan hikmah di sebalik pelaksanaan hukum Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, langkah itu antara usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkasakan pelaksanaan undang-undang syariah di Terengganu.
“Insya-Allah, kita sentiasa berusaha memperkasakan pelaksanaan hukuman syariah. Antara langkah yang diambil termasuk pewartaan tempat pelaksanaan hukuman sebat syariah di luar penjara oleh kerajaan negeri bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Ghazali Sulaiman (PAS-Bukit Besi) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Beliau berkata, pewartaan itu membolehkan hukuman sebat dijalankan secara terbuka dan disaksikan oleh orang awam selaras dengan prinsip penghayatan hukum Islam yang mendidik masyarakat, bukannya bertujuan menyeksa pesalah.
“Sekiranya hukuman ini dilaksanakan di dalam penjara hanya pihak tertentu sahaja yang melihat, bila kita laksanakan di luar penjara maka itu memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat bahawa beza antara hukum sebat sivil dan hukum sebat mengikut syariat yang lebih adil dan tidak menyeksa,” katanya.
Menurutnya, MAIDAM telah mewartakan beberapa masjid sebagai lokasi pelaksanaan hukuman sebat di luar penjara selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.
Antara masjid yang diwartakan ialah Masjid Abidin, Kuala Terengganu, Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu, Masjid Sultan Ahmad, Kemaman, Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah, Dungun, Masjid Nasiruddin Shah, Besut, Masjid Ajil, Hulu Terengganu, Masjid Kelulut, Marang dan Masjid Bandar Permaisuri, Setiu
Khalil berkata, kerajaan negeri juga sedang meneliti pewartaan beberapa lokasi awam lain seperti taman rekreasi, dataran dan kawasan tumpuan ramai untuk pelaksanaan hukuman sebat.
“Bagi kawasan awam seperti taman rekreasi, Dataran Drawbridge atau hadapan Pasar Payang, pelaksanaan hanya memerlukan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa matlamat utama pelaksanaan hukuman syariah bukanlah untuk menghukum, sebaliknya mendidik masyarakat agar menjauhi perbuatan jenayah.
“Semakin kurang kesalahan direkodkan, itu menunjukkan keberkesanan undang-undang Islam yang kita laksanakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2025











