JPKK diarah siap siaga hadapi Monsun Timur Laut

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh Terengganu diarahkan berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Fasiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, arahan itu dikeluarkan melalui Pejabat Daerah dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan kesejahteraan serta kebajikan penduduk sentiasa terpelihara sepanjang musim banjir.

Menurutnya, JPKK memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan di peringkat komuniti dalam membantu kerajaan negeri melaksanakan langkah kesiapsiagaan dan tindak balas pantas ketika bencana.

- Advertisement -

“Antara tanggungjawab utama JPKK termasuk menyalurkan maklumat awal berkaitan amaran cuaca dan banjir kepada penduduk melalui pelbagai saluran komunikasi.

“Memantau kawasan mudah banjir, tanah runtuh dan hakisan sungai serta melaporkan kepada pihak berkuasa daerah untuk tindakan segera.Membantu menyenaraikan dan memindahkan penduduk berisiko tinggi ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan teratur.

“Selain itu, mereka juga menyelaras pengagihan bantuan asas kepada mangsa banjir, mengetuai aktiviti pembersihan pasca banjir, serta mengumpul data kerosakan harta benda dan infrastruktur kampung untuk tindakan lanjut pihak berkuasa daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan oleh Mohd Hafiz Adam (PAS–Air Putih) pada pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Tambah beliau, JPKK turut berperanan sebagai penghubung utama antara penduduk dan agensi kerajaan dalam pelaksanaan langkah kesiapsiagaan dan bantuan bencana.

“Secara keseluruhannya, peranan JPKK semasa musim MTL amat penting sebagai mata dan telinga Kerajaan Negeri di peringkat akar umbi, memastikan semua tindakan kesiapsiagaan, tindak balas kecemasan dan pemulihan pasca bencana dapat dilaksanakan dengan pantas, tersusun dan berkesan demi keselamatan rakyat Terengganu,” katanya.

Dalam soalan asal, Mohd Hafiz meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan negeri memperkasa peranan JPKK agar lebih berkesan dalam menyalurkan maklumat serta melaksanakan dasar kerajaan dan program komuniti di peringkat akar umbi. – HARAKAHDAILY 14/11/2025

- Advertisement -