
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri telah mencapai pematuhan enam daripada lapan nasihat yang ditetapkan oleh Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) berkaitan pembangunan Kedah Aerotropolis yang menjadi projek keutamaan di bawah Pelan Pembangunan Kedah 2035.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dua daripada lapan nasihat yang ditetapkan MPFN masih dalam proses pematuhan untuk diselesaikan bersama pihak-pihak yang berkepentingan.
“Antaranya mendapatkan kelulusan penubuhan aerodrom bagi sub-komponen Lapangan Terbang Antarabangsa Kargo Kulim (KXP) dan libat urus berkaitan.
“Ia melibatkan Pihak Berkuasan Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi operasi pesawat awam dan tentera,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato’ Najmi Ahmad (PN-Kupang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini semalam.
Dato’ Najmi pada soalannya, memohon dinyatakan sejauh mana hasil rundingan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan bagi meneruskan projek Kedah Aerotropolis.
Justeru kata Sanusi, Kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif mengadakan perjumpaan serta perbincangan dengan Timbalan Panglima Tentera Udara dan Pegawai-Pegawai Kanan TUDM pada 19 Jun baru-baru ini.
“Pihak TUDM juga telah memberi komitmen berkenaan cadangan projek ini dan persetujuan telah dicapai untuk mengadakan sesi libat urus yang komprehensif, melibatkan semua pihak berkepentingan.
“(Ini) bagi memenuhi nasihat MPFN dan keputusan Jemaah Menteri yang dibuat bada 12 Mac lalu,” jelas beliau turut memaklumkan susulan perjumpaan itu, sesi libat urus pertama telah diadakan pada 19 Ogos lalu di Alor Setar.
Juga katanya, beberapa isu telah diketengahkan oleh pihak TUDM melibatkan beberapa perkara seperti kesesakan trafik udara di Butterworth Control Zone / TMA, gangguan pesawat TUDM di kawasan operasi serta latihan darat dan udara.
Termasuk juga katanya, berkenaan gangguan pengoperasian dan latihan di Kem Hobart serta gangguan kepada laluan Navigation Exercise (NAVEC).
“Sehubungan itu, pihak perunding projek telah mengambil maklum dan sedang meneliti isu-isu yang dibangkitkan. Isu-isu akan dibincangkan semula pada sesi libat urus berikutnya,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu lagi.
Sanusi juga menegaskan, pembangunan Projek Kedah Aerotropolis juga telah mendapat lanjutan tempoh sah pematuhan nasihat MPFN yang berakhir pada 27 Oktober 2025 bagi tempoh lima tahun sehingga 27 Oktober 2030.
Tempoh lanjutan itu jelasnya, diperolehi pada Mesyuarat MPFN ke-48 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Sementara pada mesyuarat MPFN ke-49, 13 Oktober, turut bersetuju agar pembangunan komponen industri dan Sidam Logistic and Manufacturing (SLAM) Hub dapat diteruskan terlebih dahulu tanpa perlu menunggu kelulusan penubuhan aerodrom yang hanya melibatkan KXP.
“Proses rundingan dengan Kerajaan Persekutuan akan diadakan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua perkara yang berkait rapat dengan teknikal di patuhi dalam usaha memastikan projek pembangunan Kedah Aerotropolis dapat direalisasikan seperti yang dirancang.
“Ia bukan sahaja selaras dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035 tetapi juga demi mencapai matlamat The Greater Kedah,” HARAKAHDAILY 14/11/2025




















