
KUALA LUMPUR: Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN–Pengkalan Chepa) menyokong pelaksanaan konsep dua guru satu kelas (Co-Teaching 2027) namun menegaskan persoalan keberkesanan dan beban kerja guru mesti dijawab oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau berkata, walaupun konsep berkenaan mempunyai banyak manfaat dan kebaikan, ia perlu dilaksanakan dengan perancangan dan penyelarasan yang rapi bagi mengelakkan tekanan tambahan kepada tenaga pengajar.
“Saya tidak ada masalah untuk menyokong dua guru satu kelas ini. Ada banyak manfaat dan juga kebaikannya. Namun persoalan yang berbangkit ialah keberkesanan dan juga beban kerja yang mesti dijawab,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2026 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini kelmarin.
Menurutnya, laporan di Sarawak menunjukkan kebimbangan terhadap pelaksanaan ‘Co-Teaching’ kerana ia memerlukan penyelarasan rapi sedangkan isu kekurangan guru masih belum diselesaikan.
“KGMMB (Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat) menuntut audit bilangan guru sebelum peluasan pelaksanaan. Mekanisme pelaksanaan kepada umum masih lagi pada tahap yang kabur,” jelasnya.
Sehubungan itu, Ahmad Marzuk mencadangkan agar projek rintis dilaksanakan terlebih dahulu dengan laporan telus serta latihan komprehensif yang melibatkan kesatuan dan pakar untuk pemantauan.
“Seiring dengan itu, tambah pembantu guru untuk tugas bukan mengajar agar fokus guru hanya kepada PdP (Pengajaran dan Pembelajaran),” katanya.
Beliau turut memohon supaya KPM menjelaskan fasa peluasan pelaksanaan ‘Co-Teaching 2027’, termasuk dari segi tahun, tahap, subjek, serta keperluan sumber manusia dan prasarana bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar. — HARAKAHDAILY 14/11/2025











