Buli, jenayah: KPM perlu reformasi pendidikan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN–Kuala Kedah) menegaskan kejadian buli, jenayah dan gejala sosial yang semakin berleluasa dalam kalangan remaja menjadi cabaran terbesar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
 
Ia untuk bukan sekadar melahirkan murid cemerlang akademik, tetapi juga insan yang beradab, berjiwa halus dan bersahsiah mulia di mana keadaan itu menuntut pelaksanaan reformasi pendidikan yang benar-benar berkesan dan bukan hanya slogan di atas kertas.
 
“Soalnya kini, sejauh manakah kurikulum persekolahan 2027 (KP2027) benar-benar mampu memenuhi tuntutan reformasi pendidikan yang dilaung-laungkan,” ujarnya.
 
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2026 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Menurut beliau, difahamkan terdapat bidang khusus seperti kerohanian, nilai dan kewarganegaraan serta aktiviti karektor yang dijadualkan dalam waktu pengajaran dalam KP2027.
 
Jelasnya, langkah itu dilihat sebagai satu tindakan positif yang selari dengan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
 
Namun, beliau berkata realiti di lapangan menunjukkan hasrat itu masih belum menembusi budaya sekolah secara menyeluruh.
 
“Ramai guru masih kekurangan latihan untuk mengintegrasi nilai dalam pengajaran harian. Dan tanpa sokongan ibu bapa serta komuniti, nilai yang dibina di sekolah mudah terhakis apabila murid kembali ke dunia luar, terutamanya di alam maya yang bebas batas adab,” ujarnya.
 
Sehubungan itu, Dr Ahmad Fakhruddin mengajukan persoalan kepada KPM mengenai mekanisme sebenar yang sedang dilaksanakan oleh kementerian bagi memastikan pembentukan sahsiah dan adab benar-benar hidup dalam amalan harian sekolah, bukan sekadar disebut dalam dokumen kurikulum
 
Beliau turut mempersoalkan sejauh mana KPM bersedia memperkukuh latihan guru, pemantauan nilai di sekolah serta penglibatan ibu bapa supaya nilai hormat, sopan dan empati menjadi budaya, bukan sekadar slogan.
 
Selain itu katanya, KPM perlu memastikan nilai-nilai murni yang diajar di sekolah turut disokong oleh ibu bapa dan komuniti agar tidak berlaku pertentangan nilai antara di rumah dan di sekolah. – HARAKAHDAILY 14/11/2025

- Advertisement -