
KUALA LUMPUR: Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) menegaskan hak Kelantan dalam menguruskan hasil bumi di mana setiap dasar pembangunan atau perjanjian antarabangsa yang melibatkan sumber mineral melalui rundingan rasmi dengan kerajaan negeri.
“Kelantan tidak mahu kedaulatan negeri digugat atas nama pembangunan nasional dana hasil bumi mesti diagihkan dengan adil kepada rakyat,” kata beliau.
Beliau merujuk pengalaman lampau perjanjian petroleum 1975 yang menunjukkan pentingnya hak negeri dipertahankan.
“Mineral bukan sekadar bahan ekonomi, ia adalah lambang maruah dan kedaulatan negeri Kelantan yang mesti dipertahankan,” tegasnya ketika berbahas Belanjawan 2026 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Asli di Dewan Rakyat, di sini kelmarin.
Beliau juga menyentuh kejadian gajah liar memasuki kawasan kampung dan kebun semakin meningkat, termasuk di Dabung, Manik Urai dan kawasan lain.
“Penduduk bukan sahaja kehilangan hasil tanaman malah hidup dalam ketakutan setiap malam. Manakala kos pemindahan seekor gajah liar boleh mencecah puluhan ribu ringgit termasuk kos logistik, kaki tangan, ubat pelali dan pengangkutan khas.
“Namun peruntukan operasi sedia ada di bawah PERHILITAN masih jauh daripada mencukupi. Belanjawan 2026 perlu menambah peruntukan khas di bawah item operasi pemindahan gajah liar dengan mewujudkan dana kecemasan konflik kehidupan liar yang boleh digunakan segera tanpa birokrasi panjang,” kata beliau.
Tambahnya, penduduk juga berdepan serangan kera, monyet dan beruang matahari yang semakin agresif di mana haiwan-haiwan ini bukan sahaja merosakkan tanaman seperti kelapa, pisang dan getah, malah menyerang penduduk kampung termasuk kanak-kanak kecil.
Beliau mencadangkan penambahan pasukan khas rondaan, perangkap haiwan liar, pegawai dan kakitangan tetap di daerah panas seperti Kuala Krai dan Gua Musang, selain pelaksanaan program pengurusan populasi kera dan monyet secara sistematik melalui pemindahan atau pelupusan terkawal.
“RELA boleh dilatih bersama PERHILITAN untuk menjadi pasukan tindakan awal di kampung sementara menunggu pasukan profesional tiba,” katanya.
Sementara itu Abdul Latiff juga menekankan peranan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)dalam menyediakan ramalan cuaca, amaran awal bencana dan pemantauan perubahan iklim.
Beliau menyatakan penghargaan kepada MetMalaysia Kelantan yang sentiasa mengemas kini perkembangan semasa.
“Amat perlu menaik taraf infrastruktur ramalan cuaca supaya maklumat lebih tepat, terutamanya ketika musim monsun dan fenomena hujan luar jangka,” tegasnya.
Beliau mencadangkan peningkatan jumlah stesen meteorologi automatik di kawasan pedalaman dan luar bandar, termasuk sensor hujan dan radar berskala kecil yang boleh menyalurkan data tepat kepada agensi penyelamat seperti NADMA, APM dan GPS.
Beliau menegaskan kerjasama data antara MetMalaysia, GPS dan NADMA perlu diperkukuh supaya amaran banjir atau ribut sampai tepat pada waktunya kepada pihak berkuasa dan masyarakat.
Beliau mencadangkan pembangunan sistem ramalan berasaskan kecerdasan buatan untuk meramal corak cuaca ekstrem dan perubahan iklim dan menekankan keperluan sistem penyampaian maklumat cuaca yang lebih mesra rakyat.
“Rakyat tidak seharusnya keliru dengan istilah teknikal seperti ribut petik, isolasi atau taburan hujan 60 milimeter.
“Maklumat perlu disampaikan secara ringkas dan mudah difahami melalui platform komunikasi dan aplikasi mudah alih supaya semua lapisan masyarakat mendapat manfaat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 14/11/2025











