
KALABAKAN: Yang Dipertua PAS Kalabakan, Ahmad Dullah telah mengenal pasti beberapa isu utama sepanjang beliau menyantuni masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu.
Beliau yang diumumkan sebagai calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN tersebut pada Pilihan Raya Negri (PRN) Sabah ke-17 berkata, antara yang dikenal pasti ialah masalah penyelesaian status tanah perkampungan setinggan.
Menurutnya, perkara itu perlu perhatian dan penyelesaian segera kerana sudah memakan masa puluhan tahun tetapi tiada titik noktah.
“Setakat ini saya sepanjang meninjau dan menyantuni masyarakat di DUN Tanjung Batu ini adalah dua tiga isu yang akan diambil perhatian serius untuk diselesaikan dalam tempoh akan datang.
“Yang paling utama adalah isu perkampungan setinggan dan perumahan yang tidak tersusun.
“Kita akan cuba usahakan untuk jadi pemudah cara bagi menyelesaikan isu ini selepas daripada ini,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Beliau berkata, beberapa isu lain turut dikenal pasti sebagai kritikan dan akan dijadikan keutamaan untuk diselesaikan dengan kerjasama pelbagai pihak yang berkaitan.
“Terdapat juga pelbagai isu yang saya kira kritikal dan perlu diambil serius antaranya isu kemudahan asas, masalah longgokan sampah dan anjing liar di kawasan perumahan.
Katanya, beliau juga menerima pendapat masyarakat kampung yang menyuarakan kebimbangan mengenai masa depan anak muda.
“Kita akan susun selepas daripada ini program-program yang boleh mendekati anak muda antara yang kita boleh buat ialah sukan dan rekreasi serta program kesedaran belia,” ujarnya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok hari penamaan calon PRN Sabah ke-17 sementara 29 November tarikh pengundian manakala pengundian awal 25 November. – HARAKAHDAILY 14/11/2025




















