Royalti: Terengganu hilang autonomi separuh hasil

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Isu tuntutan royalti petroleum bukan sekadar retorik politik, sebaliknya perjuangan mempertahankan hak rakyat Terengganu yang telah termaktub dalam perjanjian antara PETRONAS dan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun isu itu sering dibangkitkan kerajaan negeri, ia bukan kerana ketiadaan agenda lain, sebaliknya kerana hak tersebut perlu dipulangkan sepenuhnya tanpa campur tangan politik.

- Advertisement -

“Bila kita sering menyebut soal royalti, ada yang menuduh kita tiada kerja lain. Hakikatnya, inilah hak kita. Kita konsisten sejak dahulu kerana perkara ini sudah termaktub dalam perjanjian PETRONAS dengan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Penggulungan Ucapan Belanjawan Terengganu 2026 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Menurut Ahmad Samsuri, bagi tahun 2024, jumlah keseluruhan royalti petroleum yang diterima adalah RM1.5 bilion, namun hanya RM733.05 juta atau 53 peratus disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

Katanya, baki 47 peratus tidak dimasukkan ke akaun kerajaan negeri, menyebabkan Terengganu kehilangan autonomi terhadap hampir separuh hasil tersebut.

“Bagi tahun 2025 hingga 2 November, kerajaan negeri baru menerima RM1.08 bilion atau 66.44 peratus daripada anggaran keseluruhan RM1.63 bilion. Namun, hanya RM583.35 juta yang disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, situasi itu tidak pernah berlaku ketika kerajaan negeri diterajui PAS selepas mengambil alih pentadbiran pada 2018 sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022.

“Selepas PRU itu, bermulanya episod baharu dalam sejarah pemberian royalti Terengganu satu episod hitam apabila kepentingan politik mengatasi kewajipan yang sepatutnya.

“Secara kumulatif, bagi tempoh 2023 hingga 2025, kerajaan negeri hanya dibenarkan mengurus 50 peratus royalti petroleum. Malah penyaluran juga tidak mengikut jadual dua kali setahun seperti perjanjian,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, ketidakpastian dalam penyaluran dana itu menjejaskan perancangan pembangunan negeri, termasuk program kebajikan rakyat.

“Keadaan ini menyukarkan perancangan serta pelaksanaan pembangunan negeri, termasuk perkara melibatkan kebajikan rakyat. Sebab itulah kita terus berjuang supaya keadaan dikembalikan seperti sebelum November 2022,” ujarnya.

Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, untuk mencapai keseimbangan pembangunan negara, Kerajaan Persekutuan perlu memberi lebih kuasa kepada negeri dalam melaksanakan program pembangunan masing-masing.

“Saya sering menyebut di pelbagai forum bahawa jika negara ingin mengurangkan jurang serta kesenjangan antara negeri-negeri, semua negeri wajar diberi ruang lebih luas untuk melaksanakan program pembangunan masing-masing.

“Kita bukan lagi berada pada zaman pembentukan Malaysia tahun 1957. Jika kita ingin bergerak pantas, konsep seperti ‘cooperative federalism’ atau ‘fiscal equalization’ yang pernah saya bangkitkan dahulu perlu dipertimbangkan di peringkat Persekutuan.

“Saya yakin bahawa sekiranya ada perubahan di peringkat nasional, inilah antara komitmen kita melakukan perubahan sebenar demi membawa Malaysia ke tahap lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran, sindiran dan fitnah, kerajaan negeri tetap menunjukkan peningkatan prestasi dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pelaburan dan kesejahteraan rakyat.

“Sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (2021–2024), purata hasil janaan negeri meningkat 11.9 peratus kepada RM264.88 juta setahun berbanding RM236.77 juta dalam RMK11.

“Ekonomi negeri berkembang secara purata 4.1 peratus setahun berbanding 1.9 peratus sebelumnya, manakala nilai pelaburan kumulatif meningkat 48.2 peratus kepada RM14.3 bilion berbanding RM9.6 bilion dalam RMK11,” jelasnya.

Ahmad Samsuri berkata, pendapatan kumulatif Kumpulan Terengganu Inc turut melonjak daripada RM900 juta pada 2018 kepada RM1.75 bilion pada 2024.

Selain itu, beliau berkata, Skor Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia tertinggi iaitu 864 pada 2024 turut meletakkan Terengganu sebagai negeri paling bahagia. – HARAKAHDAILY 14/11/2025

- Advertisement -