Kawalan hakisan Pantai Batu Rakit capai 49 peratus

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kuala Nerus, yang memberi tumpuan kepada isu hakisan di Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus.

Projek ini melibatkan pembinaan 16 unit pemecah ombak serta kerja-kerja penyuburan pantai sepanjang 2 kilometer.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Fasiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, setakat ini kemajuan keseluruhan projek telah mencapai 49.46 peratus dan pelaksanaan berjalan mengikut jadual.

- Advertisement -

“Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 14 Januari 2027, dan direka bentuk berdasarkan kajian teknikal terperinci yang mengambil kira corak ombak, arus pesisir serta taburan pemendapan pasir di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Penggulungan Ucapan Belanjawan Terengganu 2026 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini kelmarin.

Beliau berkata, penyelesaian menyeluruh terhadap hakisan di Pantai Batu Rakit memerlukan pendekatan bersepadu, yang merangkumi pemuliharaan ‘cell to cell’ sepanjang zon pesisir hingga ke muara sungai.

“Pendekatan ini penting kerana proses hakisan dan pemendapan pasir berlaku secara dinamik antara satu sel pantai dengan yang lain, dan tidak terbatas kepada kawasan pembinaan struktur semata-mata.

“Melalui projek pembinaan ‘breakwater’ ini, kawasan pesisir utama akan dilindungi daripada tenaga ombak yang tinggi, seterusnya menggalakkan proses pemendapan semula pasir di bahagian pantai terlindung.

“(Ia) dijangka mengambil masa antara satu hingga dua tahun untuk mencapai kestabilan garis pantai. itu, cadangan bagi pembinaan Nearshore Island (breakwater) baharu berhampiran kawasan hakisan jalan telah diambilkira dalam analisis pihak perunding sebelum penentuan jarak optimum antara breakwater tersebut,” katanya.

Hanafiah berkata, secara keseluruhan, projek ini akan memberi kesan positif yang signifikan dalam mengawal dan mengurangkan kadar hakisan pantai di Batu Rakit dan kawasan sekitarnya, sekali gus melindungi penduduk, kemudahan awam dan aset kerajaan daripada ancaman hakisan berterusan.

“Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa usaha mitigasi akan diteruskan secara berperingkat bagi memastikan keselamatan
penduduk dan kestabilan pesisir pantai terus terpelihara.

“Kerajaan negeri juga komited untuk melaksanakan pendekatan berimpak tinggi yang mampan, sejajar dengan matlamat pengurusan pantai negara serta agenda ketahanan iklim jangka panjang,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2025

- Advertisement -