
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menegaskan bahawa segala hasil dan kekayaan negeri perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk rakyat tempatan, tegas Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan pengurusan hasil tempatan dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat terus kepada rakyat Terengganu.
Perkara itu jelasnya, selaras dengan prinsip keempat Pelan Induk Transformasi dan Aspirasi Negeri Terengganu 2030 (PITAS 2030) iaitu “Kekayaan dan Hasil Tempatan adalah untuk Rakyat Terengganu”.
“Berasaskan kepada keadaan ini, maka kerajaan negeri akan memastikan hasil negeri yang ada ini ataupun yang sedia yang sebelum ini ataupun yang akan datang diuruskan dengan sebaik mungkin tanpa sebarang halangan dan sekatan untuk diberikan manfaat kepada rakyat Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ir Saiful Azmi Suhaili (PAS-Kemasik) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini kelmarin.
Beliau berkata, atas sebab itu juga, kerajaan negeri terus memperjuangkan hak royalti petroleum daripada PETRONAS mengikut perjanjian lama yang telah dimeterai puluhan tahun lalu, meskipun terdapat cabaran daripada pihak lain.
“Walaupun cuba dan telah dialihkan tiang gol oleh pihak Kerajaan Persekutuan kemudian ini, tapi kita tetap berpegang kepada apa yang telah ditandatangani sebelum ini,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri juga sedang menuntut bayaran daripada FELDA yang menggunakan hampir 15,000 hektar tanah negeri sejak lebih 40 tahun.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan mengambil langkah untuk memastikan bahawa aktiviti utama unsur nadir bumi (REE) sama ada midstream atau downstream dilaksanakan di negeri ini.
“Walaupun cuba juga diambil pendekatan yang berbeza oleh pihak yang lain, tapi kita akan berpegang bahawa hasil mineral, hasil galian bumi ini sebagaimana dalam Perlembagaan Persekutuan adalah hak milik Negeri Terengganu,” katanya.
Selain itu, kata beliau, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan tempatan melalui kerjasama dengan PETRONAS dan agensi pembangunan usahawan.
“Atas sebab ini juga kerajaan negeri berfokus kepada peluang kontrak vendor, persijilan Anak Terengganu Certificate (ATC), pemilihan teknologi dan pembangunan kapasiti.
“Sehingga kini seramai 120 daripada 136 permohonan ATC telah lulus dan mereka akan mendapat keutamaan projek kendalian PETRONAS dan mereka ini adalah anak daripada Negeri Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2025











