ART Malaysia-AS dikhuatiri jejaskan biodiversiti negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat baru-baru ini dijangka memberi kesan besar kepada pelaksanaan Akta Biokeselamatan 2007 atau dikenali Akta 678.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, pengimportan organisma terubah suai genetik (GMO) perlu melalui penilaian risiko ketat yang telah ditetapkan Jabatan Biokeselamatan.

Bagaimanapun kata beliau, dua terma dalam perjanjian itu menimbulkan persoalan kritikal mengenai pelaksanaan akta terbabit bagi menjamin keselamatan kepelbagaian organisma hidup di Malaysia.

- Advertisement -

“Artikel dalam perjanjian itu, menunjukan kerajaan seolah-olah mengiktiraf keberkesanan sistem kawalan selia Amerika Syarikat dalam menilai keselamatan produk bioteknologi pertanian dan juga GMO.

“Semua produk makanan atau pertanian yang diproses daripada bioteknologi pertanian tidak tertakluk di bawah kelulusan tempatan dalam GMO, ini cabaran besar dengan perjanjian tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan Belanjawan 2026 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di Dewan Rakyat, di sini kelmarin.

Tuan Ibrahim menambah, jika sebelum agensi pelaksana Akta 678 itu memainkan peranan sangat penting dalam memastikan semua produk berkaitan GMO yang diimport melalui Laporan Penilaian Risiko.

Menurut beliau lagi, hasil laporan tersebut dibentangkan kepada Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK), sebelum dibawa kepada meja menteri yang bertanggungjawab pada ketika itu untuk diluluskan.

Namun katanya, perjanjian timbal balas itu secara tersirat mampu menafikan kuasa angota pentadbiran kerajaan dengan mewajibkan Malaysia menerima keputusan keselamatan yang dibuat di Amerika Syarikat.

“Persoalannya apa guna kita tubuhkan LBK, kalau sekiranya ada pihak yang boleh ‘through’, boleh ‘bypass’ kepada peraturan-peraturan yang sedia ada dan harap perkara ini diberi perhatian serius kerajaan.

“Pihak kementerian beri perhatian serius supaya kita tidak berdepan dengan kesan-kesan yang besar kemasukan GMO ke negara kita ini pada masa hadapan,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 14/11/2025

- Advertisement -