
KUALA LUMPUR: Kerajaan pada tahun ini pernah melaungkan hasratnya untuk melantik seramai 3,000 Ranjer Komuniti (RK) yang dianggotai oleh veteran tentera, pesara polis dan juga masyarakat orang asli.
Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) berkata, pencerobohan hutan dan aktiviti pemburuan haram dikesan masih lagi berlaku secara berleluasa di kawasan Hutan Simpan Kekal dan Rizab Hidupan Liar.
Malah kata beliau lagi, pengumuman tersebut mendapat liputan meluas pihak media massa selepas konflik antara haiwan liar dan manusia semakin memuncak yang memerlukan tindakan tuntas oleh pihak kerajaan.
“Persoalannya adakah status yang disebutkan tentang pelantikan 3,000 RK itu? Berapa ramai yang telah dilantik dan di mana mereka ditempatkan dan dan apakah hasil yang telah dicapai sehingga setakat ini?
“Ini penting kerana kita mesti melihat soal berkaitan hidupan liar kerana kita ada daerah penempatan mereka apabila diganggu, maka ia akan membawa soal pencerobohan kepada penduduk tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada sesi perbahasan Belanjawan 2026 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di Dewan Rakyat, di sini kelmarin.
Dalam perbahasan itu Wan Hassan itu menyentuh mengenai isu Malim Gunung Perhutanan (MGP) sebagai juru. pandu arah terhadap aktiviti pendakian Hutan Simpan Kekal untuk menjaga keselamatan pendaki.
Namun beliau berkata, insien membabitkan kematian Allhyarham Mustaqqeem Mansoor, 34 ketika melakukan pendakian di Gunung Liang memperlihatkan kegagalan pelaksanaan peraturan pihak berkuasa berkenaan.
“Tragedi menyayat hati ini berlaku pada Oktober lalu telah mengingatkan kita bahawa pengurusan laluan pendakian di Malaysia masih belum memilik sistem keselamatan nasional yang seragam dan menyeluruh.
“Oleh itu persoalan saya, adakah kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bercadang mewajibkan perkhidmatan MGP untuk setiap ekspedisi ke gunung atau bukit yang dikategorikan berisiko,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2025











